Pages

Friday, August 2, 2013

Fadhilat Qiamullail Dan Solat Sunat Tasbih


Fadhilat dan kisah berkaitan Qiamullail 

Daripada Abu Hurairah r.a : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk syurga dengan selamat – Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih

Daripada Abdullah Ibnu Umar katanya bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Wahai Abdullah Ibnu Umar! Janganlah engkau menjadi seperti si Fulan di mana dia bangun pada waktu malam tetapi dia tidak melakukan ibadat qiamullail – Dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad  dengan sanad sohih

Ketika orang sudah lelap dalam tidurnya, Ibnu Mas’ud justeru mulai bangun untuk solat tahajjud, sehingga terdengar seperti suara dengungan lebah, sampai menjelang fajar menyingsing. Ditanyakan kepada Hasan al-Bashri, “Mengapa orang-orang yang suka bertahajjud itu wajahnya paling bercahaya di antara yang lain?” Ia menjawab, “Kerana mereka suka berduaan bersama Allah Yang Maha Rahman; maka Allah menyelimuti mereka dengan cahayaNya.”

Hasan al-Bashri juga pernah berkata, bahawa sesungguhnya orang yang telah melakukan dosa, akan terhalang dari Qiamullail. Ada seorang bertanya kepada orang soleh: “Saya tidak dapat bangun untuk Qiyamullail, maka beritahukanlah apa yang harus saya lakukan?” Orang soleh itu berkata: “Jangan engkau bermaksiat kepadaNya pada waktu siang, nescaya Dia akan membangunkanmu untuk beribadah kepadaNya, diwaktu malam.” Di dalam suatu riwayat, Sufyan ats-Tsauri mengatakan: “Aku terhalang untuk melakukan Qiyamullail selama lima bulan, akibat dari satu dosa yang aku lakukan.”


Ibnu Mubarrak berkata dalam bait syairnya:

Saat malam tiba berselimut gelita
Kala manusia lain lelap dalam tidurnya
Mereka lawan beratnya malam dengan ibadat
Untuk merebak cahaya Yang Kuasa
Rasa takut kepadaNya menerbangkan mengantuk mereka
Sedang orang yang merasa aman dari murkaNya
Terbuai dalam mimpi-mimpinya...

Abu Sulaiman berkata: “Malam hari bagi orang yang setia beribadat di dalamnya, itu lebih nikmat daripada permainan bagi mereka yang suka hidup bermain-main. Seandainya tanpa malam aku tak suka tinggal di dunia ini.”

Ibnu Munkadir berkata: “Bagiku, kelazatan dunia ini hanya ada pada tiga perkara, Qiyamullail, bersilaturrahim dengan ikhwan dan solah berjemaah.”

Allah bermegah dengan hamba-hambaNya yang bangun ditengah malam. hadith Qudsi meriwayatkan : mereka yang bangun ditengah malam mengerjakan solat, disediakan syurga buat mereka.

Solat Sunat Tasbih

Solat Sunat Tasbih merupakan solat sunat yang terdapat sebanyak 300 tasbih. Solat Sunat Tasbih dianjurkan supaya dikerjakan sekurang-kurang sekali seumur hidup. Solat sunat tasbih ada empat rakaat, dengan ketentuan jika dikerjakan pada siang hari cukup dengan satu salam, dan jika dikerjakan pada malam hari dengan dua salam.

Rasulullah s.a.w bersabda:  “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali .“  ( HR. Abu Daud dan Ibnu Majah )




Cara mengerjakan solat tasbih ialah dengan membaca tasbih 15 kali sesudah membaca surat Al-Fatihah, 10 kali tasbih ketika rukuk, 10 tasbih ketika iktidal, 10 tasbih ketika sujud pertama, 10 tasbih ketika duduk antara dua sujud, 10 tasbih ketika sujud kedua, dan 10 tasbih ketika duduk rehat sebelum bangun berdiri / memberi salam. Ulangi 75 tasbih ini untuk empat rakaat.

Bacaan tasbih :




Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, dan tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar;   Dan tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
Nota;
*Buat permulaan sekiranya berasa berat, bacalah tasbih di atas pada barisan pertama sahaja.

Hadith mengenai Solat sunat tasbih dianggap sahih oleh Imam al-Hakim, Ibn Abu Dawood, Ibn Hajar dan yang lain. Imam al-Albani turut mengelaskannya sebagai boleh dipercayai.


No comments:

Post a Comment