Pages

Monday, November 4, 2013

Pahang Juara Piala Malaysia Edisi 2013

Pahang muncul juara Watsons Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Jaringan tunggal perlawanan hadir di minit ke-58, apabila Matias Conti berjaya menanduk masuk
hantaran cantik Azzamuddin Mohd Akil. Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan cuba bangkit dengan mengatur beberapa serangan merbahaya namun gagal membolosi gawang lawan.

Terdahulu, Aksi kedua-dua pasukan di awal perlawanan jelas terencat akibat hujan lebat membasahi padang Stadium Shah Alam. Pahang dilihat lebih menguasai perlawanan sepanjang perlawanan dengan kerap kali mengasak kubu Kelantan.
Di minit ke-11, Pahang mencipta peluang pertama hasil hantaran R. Gopinathan, namun mereka tidak diberi ruang untuk melakukan rembatan.

Pahang dihadiahkan sepakan percuma di minit ke-13 selepas Nik Mohd Shahrul Azim dipersalahkan kerana menjatuhkan Azzamuddin Mohd Akil, namun tendangan tersebut gagal disempurnakan dengan baik.

Manakala Kelantan mencipta peluang terbaik menerusi sepakan percuma yang diambil Indra Putra Mahayuddin, bagaimanapun ia sedikit tersasar ke sebelah kanan gol.

Di minit ke-20, Azzamuddin berjaya mengelirukan pertahanan Kelantan, pun begitu sepakannya sedikit melewati palang gol.

Lima minit kemudian, Damion Delano Stewart dipersalahkan kerana menjatuhkan Dickson Nwakaeme dan ia sekaligus menghadiahkan sepakan percuma kepada Kelantan. Sepakan yang di ambil Badri Radzi terkena benteng lawan.

Tidak lama kemudian, Pahang meraih peluang terbaik sepanjang babak pertama selepas rembatan Matias Conti hanya terkena palang gol.
Sebaik babak kedua bermula, Pahang terus mengasak kubu Kelantan. Fauzi Roslan yang dimasukkan menggantikan Gopinathan tiba-tiba muncul melakukan rembatan ketika keadaan kelam kabut berlaku di kubu Kelantan. Sikap terburu-burunya membuatkan rembatan jauh tersasar.

Corak perlawanan di babak kedua lebih tersusun berikutan hujan mula berhenti. Di minit ke-82, Bojan Hodak membuat pertukaran dengan mengeluarkan Badri Radzi bagi menggantikan dengan Faiz Subri. Sejurus dimasukkan, Faiz nyata mensia-siakan peluang apabila peluang di depan gol.

Di penghujung perlawanan Kelantan banyak mengasak namun tiada percubaan tepat dapat dilakukan. Pertahanan Pahang jelas kebal, apabila rembatan dekat Farhan berjaya di sekat penjaga gol Pahang, Mohd Nasrir Mat Nourdin. Perlawanan kekal berkesudahan 1-0 berpihak kepada Pahang.

No comments:

Post a Comment