Pages

Wednesday, May 28, 2014

Kemangkatan Sultan Berjiwa Rakyat

Jam 1.30 tengah hari tadi khabar duka menjengah negara apabila bekas Yang di-Pertuan Agong Malaysia, DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah disahkan mangkat.

Pemergian almarhum yang juga Sultan bagi Perak Darul Ridzuan menyentuh hati banyak rakyat kerana jasa beliau kepada negara.

Dilahirkan pada 1928 di Batu Gajah, Sultan Azlan dimahsyurkan sebagai Sultan Perak ke-34 selepas kemangkatan Sultan Idris Shah pada 3 Februari 1984.

Salah satu perkara yang diingati rakyat Perak terhadap Sultan Azlan adalah kemurahan hati baginda mengeluarkan biaya keluarga diraja untuk sambutan jubli perak sempena 25 tahun pemerintahan baginda di negeri berkenaan pada 3 Februari 2009.

HAKIM TERMUDA

Sebelum bergelar sultan, baginda yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari University of Nottingham, United Kingdom pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Malaysia.

Pada 1965 ketika berusia 37 tahun, Sultan Azlan mencatat sejarah sebagai hakim termuda dalam sejarah kehakiman Komanwel apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.

Seterusnya, Sultan Azlan terus mendaki puncak karier kehakiman apabila menduduki kerusi Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya seterusnya Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara.

PEMINAT HOKI

Bagi peminat hoki, jasa Raja Azlan terhadap sukan ini tidak dapat dipertikaikan lagi. Meminati sukan ini sejak zaman persekolahan, baginda mengusahakan pembinaan Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 1983.

Dedikasi terhadap sukan ini turut menyaksikan baginda hadir ke setiap kejohanan tahunan lima penjuru peringkat antarabangsa.

Jasa Sultan Azlan ketika hayat dibuktikan menerusi sumbangan dan anugerah yang diterima baginda baik dari Malaysia mahu pun negara luar.

Antara sumbangan baginda adalah bergelar Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi dan Canselor Universiti Malaya (UM).

Baginda telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh UM, Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang (USM), Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang (University of Nottingham), ‘Kerusi Kehormat’ (Lincoln’s lnn, London), Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang (Universitas Gadja Mada, lndonesia), Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-undang (Universiti Brunei Darussalam), Ijazah Kehormat (Universiti Chulalongkon,Thailand), Ahli Kehormat The Royal College of Physician of lreland, Ahli Kehormat The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England.

DUA PUTERA, TIGA PUTERI

Hasil perkahwinan dengan Tuanku Bainun Mohd Ali, Sultan Azlan dikurniakan dua putera dan tiga puteri iaitu Raja Nazrin Shah, Raja Azureen, Almarhum Raja Ashman Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.

Kecemerlangan baginda dalam pelajaran dan hidup turut tercermin pada keturunan apabila kesemua anakanda baginda mempunyai tahap pendidikan yang tinggi.

Sesungguhnya kecemerlangan, kehebatan dan jasa almarhum akan sentiasa dalam kenangan.

Marilah kita sama-sama menitipkan doa semoga roh Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang diredai Allah SWT. Al-fatihah.

No comments:

Post a Comment