Followers

Wednesday, August 27, 2014

Pengertian Sajak 'Arkitek Kota'

Hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut
kenal lambung gelombangnya
alur sungai serta diam batu
perasaan musim
fiil langit dan sabar bumi
berhak membina kota.
[Penyajak menyatakan bahawa usaha membangunkan sesebuah kota perlu dilakukan oleh mereka yang benar-benar layak dan bertanggungjawab. Mereka merupakan golongan yang arif dan banyak pengetahuan tentang selok-belok dan keadaan sesebuah kota yang ingin dibangunkan.]

kerana arkitek matang itu anak di taman
perenung di perpustakaan
orang muda pulang bertandang di lorong malam
pemunggah barang pasar di subuh hari
pengadil di bangku bijaksana
dan datuk bandar yang bangga
[Hal ini demikian kerana golongan perancang bandar ini merupakan penghuni yang tinggal di situ dan banyak mengetahui hal-hal berkaitan dengan masalah yang dihadapi penduduk. Mereka juga telah banyak membuat kajian dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang menghuni kota tersebut. Usaha ini akan memudahkan perancang bandar tersebut membangunkan kota kerana mereka telah mengambil kira semua pertimbangan.]

dia harus sayangkan lagu burung
pemancing di teduh pohon
pemerhati tasik
pengawas bintang
dan bunga menjalar di beranda.
[Seseorang perancang bandar juga harus mencintai alam sekitar. Usaha membangunkan sesebuah kota perlu mengambil kira kepentingan alam sekitar kepada flora dan fauna. Kehidupan flora dan fauna perlu dipelihara. Keindahan alam semulajadi perlu dipertahankan untuk mewujudkan landskap yang mempesonakan.]

pencipta kota ialah
pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai
kelakar tua yang mengampungkan cerita
orang bercinta yang perlukan bulan
[Perancang kota sebaiknya terdiri daripada golongan muda yang banyak idea untuk merencanakan keindahan kota. Idea bernas yang diilhamkan oleh golongan ini dapat memberi kegembiraan kepada semua lapisan dan menjadi tarikan kepada golongan yang inginkan keindahan.]

dia pengukir ruang hidup
penghias suasana sempurna
membenarkan penemuan
memungkinkan kemungkinan
[Perancang kota merupakan arkitek yang mampu memberikan kehidupan yang selesa dan sempurna kepada warga kota. Mereka mampu merencanakan perancangan dengan mengambil kira keseimbangan antara pembangunan kota dengan penjagaan alam sekitar. Pembangunan kota dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar mampu memberikan kehidupan yang sempurna kepada warga kota.]