Followers

Monday, July 21, 2014

Mengimbas Kenangan Ais Batu

ANAK-anak zaman sekarang tidak pernah tahu pun semua itu. Malah yang lahir 30 tahun ke belakang pun ramai yang tidak tahu. Tetapi inilah mahalnya kenangan mereka yang berusia 40 tahun ke atas, yang pernah hidup di kampung pedalaman, yang tubuhnya membesar dengan hasil masakan dapur kayu atau dapur arang.

Kami dahulu jangankan kata ada di rumah, nak tengok peti ais atau peti sejuk pun jarang-jarang. Hanya sesekali keluar ke pekan, nampaklah peti ais di penjuru kedai mamak di mana emak ayah ajak duduk minum ais sarbat. Teh ais pun pada zaman itu sudah dikira minuman mewah.

Tetapi itulah, terkenang semula semua kisah lama, boleh tersenyum sendiri, sekali gus melupakan sekejap perut yang galak berkeroncong pada bulan puasa ini. Terlalu indah.

Setiap kali tiba bulan puasa, seawal hari pertama, saya tak pernah tidak teringat semula kisah zaman budak-budak dahulu. Paling saya ingat ialah air batu yang dijual orang secara menjaja dari rumah ke rumah di serata pelusuk kampung.

Ais dibawa dalam tong yang diletak di pelantar basikal. Apabila ada orang nak membeli, tong diangkat turun dan ais buku yang disebut ais ketul pun diangkat keluar dari tong.

Masa itulah dapat dilihat di dalam tong di mana ais disimpan, penuh dengan habuk kayu ataupun sisa kayu yang diketam. Gunanya adalah untuk melambatkan proses pencairan ais  buku yang disimpan dalam tong itu.

Setelah itu, ais dari buku atau ketulan besar itu dipotong menggunakan, gergaji mengikut saiz yang diminta. Setelah harganya dibayar, ais dibungkus dalam kertas surat khabar untuk dibawa balik. Biasanya yang ditugaskan beli ais ketul ini ialah anak-anak sebab anak-anaklah yang paling ghairah nak minum ais sarbat atau sirap selasih pada waktu berbuka.

Waktu itu belum ada bazar Ramadan tetapi bulan puasa tetap meriah dengan orang berniaga. Setiap hari ada sahaja penjaja masuk kampung menjual benda-benda yang khusus untuk bulan puasa. Antara yang mahsyur ialah cendol dan cincau. Saya hanya tahu apa itu cincau setelah berhijrah ke Ibu Kota pada 1994.

Sebelum itu, saya tidak pernah tahu cincau tetapi saya cukup kenal 'lengkong'. Lengkong adalah nama lain bagi cincau di utara. Lengkong memang saya sangat suka sejak zaman kanak-kanak.

Pun seperti juga teh ais, ia termasuk dalam kategori 'mewah' bagi kami orang kampung. Lengkong lebih mewah daripada cendol kerana cendol boleh dibuat sendiri. Emak saya selalu bikin cendol di rumah. Tepung diletak dalam satu bekas yang berlubang dan kemudian ditekan keluar melalui lubang pada bekas itu. Jadilah ia bertali-tali.

Oleh kerana ais hanya dijual orang pada bulan puasa, maka cendol 'homemade' yang kami makan tidak berais. Tersangat mewah ais atau air batu pada masa itu. Kampung saya di Mahang, Kedah hanya masuk belakan elektrik pada 1980, semasa saya dalam darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Mahang. Sebelum itu, malam kami hanya berteman pelita minyak gas atau minyak tanah.

Peti ais tidak ada dalam kampung. TV pula hanya di beberapa rumah. Itupun guna kuasa bateri yang perlu dicaj beberapa hari sekali. Di mana rumah yang ada TV, di situlah tempat kami budak-budak melepak terutama pada malam Sabtu kerana ada tayangan gambar Melayu. Waktu itu belum ada TV warna.

Semuanya hitam putih, dan pengisiannya pun hampir kesemua cerita orang putih. Cerita orang putih, pelakonnya ada orang hitam. Jadi kena sangatlah dengan TV hitam putih pada zaman itu.    

Ketika itulah saya mengenal siri-siri penyiasatan Rockford Files, Starsky & Hutch, Chips, Quincy ME dan banyak lagi. Cerita perang sudah tentu Combat dan NAM Tour of Duty. Tidak kurang menarik Fantasy Island, Battle Star of Galactica, Six Million Dollar Man, Bionic Woman, Charlie's Angel, The Incredible Hulk dan lain-lain. Rancangan kekeluargaan Dallas, Eight Is Enough, The Waltons yang biasa disiarkan waktu maghrib... yang pengakhirannya setiap kali mesti ayat ini "Good night Jim Bob!"

Ketika itu juga saya selalu tertanya-tanya mengapa  The Sullivan yang teramat membosankan itu boleh ditayang bersiri sampai 200 lebih episod? Itulah. Bulan puasa, perut kosong, rupa-rupanya mudah membuatkan kita teringat kenangan lalu. Ketika lapar, kita selalunya akan lebih insaf, teringat asal usul, menilai hakikat diri dan juga perjalanan hidup yang semakin jauh.

Dan ini sudah tentu akan juga membuatkan kita sedar betapa garisan penamat bagi semua kisah perjalanan ini sudah semakin hampir.

Kenanglah juga mereka yang dahulu ada bersama kita, sekarang sudah tidak ada. Mereka yang dahulu sebahagian daripada diri kita, sudah pun meninggalkan kita untuk kita melangkah sendirian, membina mercu tanda kenangan yang suatu hari nanti, pun akan juga kita tinggalkan. Moga Ramadan kali ini berikan kita keinsafan yang berkekalan.

Muhammad Mat Yakim (Sinar Harian Julai 2014)

Friday, July 18, 2014

Sejarah Pesawat Awam Di Tembak Jatuh

Sekiranya benar andaian setakat ini bahawa pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia, ia bukanlah insiden yang pertama seumpamanya.

Sekurang-kurangnya ada enam kejadian sepertinya sebelum ini, sama ada ditembak secara sengaja atau tidak sengaja. Bagaimanapun, nahas MH17 ini adalah yang paling buruk dalam sejarah industri penerbangan dunia. Penerbangan itu membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal.

Kerajaan Ukraine menuduh kumpulan pemberontak pemisah bertanggungjawab. Kumpulan itu bagaimanapun menafikan tuduhan dan mengatakan sebaliknya.

Berikut adalah enam insiden seumpamanya dengan satu daripadanya juga ada kaitan dengan Ukraine.

1955: El Al Israel Airlines ELAL402

Penerbangan ini berlepas dari London menuju ke Tel Aviv melalui Vienna dan Istanbul. Pada 27 Julai 1955, pesawat Lockeheed L-049 Constellation itu tersasar masuk ke ruang udara Bulgaria.

Ia ditembak jatuh oleh dua pesawat pejuang MiG-15 milik tentera udara Bulgaria dan jatuh terhempas dekat Petrich, Bulgaria. Semua 58 penumpang dan anak kapal terbunuh. Nahas ini berlaku ketika hubungan tegang antara blok timur dan barat semasa era Perang Dingin.

Ia juga nahas terburuk melibatkan Lockheed L-049 Constellation pada ketika itu. Bulgaria kemudian memohon maaf dan mengatakan juruterbangnya telah "tergesa-gesa."

1973: Libyan Airline 114

Pesawat ini dalam penerbangan dari Tripoli menuju ke Kaherah melalui Benghazi. Akibat cuaca buruk dan kegagalan berfungsi peralatan komunikasinya, ia tersasar masuk ke ruang udara yang dikuasai oleh Israel dekat Semenanjung Sinai.

Pesawat Boeing 727 ini dipintas oleh dua pesawat pejuang milik Israel. Ia ditembak jatuh selepas dikatakan enggan memberi kerjasama. Siasatan mendapati juruterbang pesawat itu menyangkakan dua pesawat pejuang itu adalah milik Mesir yang dikerah untuk mengiringinya.

Pesawat itu membawa 113 orang penumpang dan anak kapal. Lima daripada mereka terselamat termasuk pembantu juruterbang.

1978: Korean Airlines KAL902

Pesawat yang dalam penerbangan dari Paris ke Seoul ini mengalami gangguan peralatan.

Juruterbangnya tersilap membuat perkiraan dan terbang masuk ke ruang udara Kesatuan Soviet (ketika itu) di Garisan Artik. Tentera udara Soviet yang menyangkakannya pesawat pengintip melepaskan tembakan. Pesawat Boeing 707 itu kemudian membuat pendaratan kecemasan dekat sempadan Finland. Dua daripada 109 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.

1983: Korean Airlines (KAL007)

Pesawat pemintas milik Soviet Union menembak jatuh pesawat Boeing 747 yang dalam penerbangan dari New York ke Seoul. Ia membawa 269 orang penumpang dan anak kapal termasuk seorang wakil rakyat Amerika Syarikat. Semua mereka terbunuh. Nahas ini terjadi ketika kemuncak era Perang Dingin.

Ia meningkatkan kempen anti-Soviet terutamanya oleh Amerika. Soviet pada awalnya menafikan kejadian tetapi kemudiannya mengaku bertanggungjawab lima hari selepas insiden.

1988: Iran Air IRA655

Kejadian ini berlaku ketika Perang Iran-Iraq dan ketika hubungan tegang antara Amerika Syarikat dan Iran. Tentera Laut Amerika tersalah sangka kononnya pesawat Airbus 300 itu adalah sebuah pesawat pejuang.

Selepas beberapa amaran, kapal perang USS Vincennes melepaskan dua tembakan misil yang satu daripadanya mengenai pesawat itu. Ia jatuh di Selat Hormuz, membunuh semua 290 penumpang dan anak kapal. Iran mendakwa pesawat tersebut telah sengaja ditembak jatuh. Amerika membayar kepada Iran sebanyak AS$101.8 juta sebagai ganti rugi.

2001: Siberian Airlines SBI1812

Pesawat ini dalam penerbangan dari Tel Aviv, Israel ke Novosibirsk, Rusia. Ia ditembak jatuh oleh misil dari Ukraine semasa terbang melintasi Laut Hitam. Siasatan mendapati tentera udara Ukraine melepaskan dua misil semasa latihan ketenteraan.

Semua 78 penumpang dan anak kapal maut.

P/S : Takziah kepada keluarga Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, beliau merupakan salah seorang crew MH17 dan merupakan Orang Wangsa Maju Seksyen 5.Semoga tabah menghadapi dugaan yang berat ini.

Tuesday, July 1, 2014

Sek Men Agama KL Di Wangsa Maju

Gambar lama pelajar Sek Men Agama Kuala Lumpur (SMAKL) antara tahun 1988-1993.Ramai OWM dah lupa yang pelajar lelaki sekolah ini ditempatkan sementara di Sek Men Wangsa Maju Seksyen 2 sebelum bangunan sekolah mereka siap sepenuhnya di Kepong pada tahun 1993.Untuk pelajar perempuan, bangunan sementara mereka ialah di Sek Men Puteri Wilayah, Jln Sultan Sulaiman, KL.

Key Chain Lejen Orang Wangsa Maju

Sumbangan daripada Fby Yusof, sebuah key chain yang lejen forever.Sampai dah berkarat rantai.Ingat lagi tak? First owner rumah kat seksyen 1,2,4,dan 10 je dapat tahun 1985-1986 dulu.Rasa macam nak keluarkan balik je key chain ni pulak.Agak-agak OWM nak beli ke? Hehehe...

Lokasi Orang Kenit

Lokasi kanak-kanak Wangsa Maju zaman retro yang mendakwa Orang Kenit wujud.Dulu ni padang rumput yang super luas.Wujud jalan denai pejalan kaki dari blok F nak ke Pasar.Tembok masjid ni dulu pagar dawai je.Sempadan padang lejen ni longkang yang super panjang.Selain Orang Kenit, makhluk Tungau juga wujud.Pernah jumpa Orang Kenit dan Tungau?

Aiskrim Horlicks Yang Lejen Di Wangsa Maju

Ingat lagi tak aiskrim Malaysia yang lejen ni? Ada sarsi, asam boi, sirap, bandung, oren, jagung, milo... siap aiskrim Selangor pun ada (campuran sirap dan oren).Harga standard seposen sebatang.Cuma yang specialnya kat blok B11 ni dulu ada aiskrim Horlicks.Perghhh... sedap tu.Sanggup pusing jauh lepas balik sekolah! Tapi mahal sikitla, 20 sen sebatang.