Followers

Thursday, April 18, 2013

Kisah Sedih Di Wangsa Maju (Perjalanan Akhir Nurin Jazlin)

Perjalanan Akhir Nurin Jazlin

Oleh NORMALA HAMZAH

HARI ini genap seminggu Nurin Jazlin Jazimin, 8, disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur. Selain tanah kuburnya yang masih merah, air mata ibu bapa, kakak dan adik serta keluarganya juga masih terus menitis.

Tidak terkecuali seluruh rakyat Malaysia yang berkongsi kesedihan di atas pemergiannya.

Setelah hilang selama 30 hari, Nurin Jazlin ditemui tidak bernyawa dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di Petaling Jaya, Selangor dengan kesan penderaan seksual yang melampau.

Penemuan itu menamatkan misteri kehilangan Nurin namun kisah anak malang itu pasti akan terpahat kemas dalam lipatan minda bukan setakat keluarganya tetapi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, usia dan batas agama.

Seluruh negara menangisi kematiannya yang tragis. Seluruh negara juga mengutuk kekejaman yang dilakukan ke atas Nurin Jazlin.

Naluri keibuan mendorong saya mencatat kisah Nurin Jazlin di ruangan ini sebagai penghormatan dan rasa kasih terhadap anak comel yang tidak berdosa itu.

Jika kita yang tiada kena mengena dengan Nurin Jazlin boleh menangis dan meratap, bagaimana mungkin ibu bapa, kakak dan adiknya menahan rasa?

Pastinya telah kering air mata mereka menangisi kehilangan Nurin Jazlin sejak 20 Ogos lalu.
Kesedihan yang ditanggung bapanya, Jazimin Abdul Jalil dan ibunya, Norazian Bistaman pastinya tidak terucap dengan kata-kata. Bayangkan jika kita di tempat mereka!

Bersama ratusan orang, saya turut meluangkan masa berhimpun di Madrasah Assa’dah, Seksyen 1, Wangsa Maju pada Jumaat lalu di mana jenazah Nurin Jazlin disembahyangkan.

Melihat begitu banyak kenderaan dan motosikal yang diletakkan di tepi jalan menghalang perjalanan ke madrasah tersebut, hati saya berkata, ramai yang sayangkan Nurin Jazlin!

Lagipun terlupa pula saya hari itu Jumaat di mana ramai kaum Adam mengerjakan solat Jumaat. Syukur dalam berlegar-legar, saya mendapat ruang untuk meletak kereta walaupun jaraknya agak jauh.

Lima belas minit menunggu jenazah Nurin diusung keluar. Seperti diduga orang ramai yang bersesak di kawasan madrasah mula berasak-asak untuk menghampiri van jenazah.

Beberapa wanita yang berlonggok di kiri kanan pagar madrasah kelihatan menangis dan berpelukan sesama sendiri. Sesetengahnya tidak dapat menahan sedih sehingga terpaksa ditenangkan yang lain.

Dari kejauhan juga saya perhatikan kebanyakan jemaah lelaki turut mengesat air mata. Emosi dan ego mereka turut terlerai kerana Nurin Jazlin. Begitu juga orang ramai yang menunggu di tepi jalan juga mula menangis.

Dan ketika van jenazah bergerak meninggalkan perkarangan madrasah menuju ke Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota, suasana semakin tidak terkawal, semua yang ada di situ saya lihat mengesat air mata. Suasananya sungguh mengharukan!

Sebaik kereta jenazah melintasi jalan di mana saya dan ramai lagi menunggu, sedu-sedan mula kedengaran dengan kebanyakan mereka tidak sampai hati melihat ke arah van jenazah. Sayunya hati, sebaknya dada, Tuhan saja yang tahu!

Di belakang van jenazah, deretan kereta dan motosikal mengekorinya perlahan-lahan untuk terus mengiringi jenazah Nurin Jazlin dalam perjalanan akhirnya ke tanah perkuburan.

Terkilan rasa hati kerana tidak dapat ikut sama ke tanah perkuburan, lantaran ada komitmen lain yang menunggu. Namun saya bersyukur kerana hajat untuk ke madrasah itu termakbul juga.

Nurin Jazlin Jazimin tidak ada kena mengena dengan kita semua. Tapi kekejaman yang berlaku ke atasnya dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, usia dan kaum.
Dalam marah, kita redha dengan ketentuan Tuhan.

Takdir yang tersusun dalam perjalanan hidup Nurin tidak siapa tahu atau menolaknya. Kerakusan manusia bertopengkan binatang meletakkan nyawa Nurin Jazlin seperti tidak berharga.

Begitu juga dengan nyawa-nyawa lain yang telah menjadi korban sebelum ini antaranya, Haserawati Saridin, 9, Nurul Huda Ghani, 10, Norshuhada Burak, 6, Nor Shawan Dahlan, 7, Siri Nadirah Budah, 5, dan Nor Syakilla Ramli Abdullah Choo, 5. Mereka diperlaku dengan kejam tanpa belas kasihan. Al-Fatihah!

Apakah kita harus membiarkan kejadian ini terus berlaku? Tentunya tidak. Justeru, tunaikan tanggungjawab kita sebagai anggota masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab.

Tidak salah mengembalikan sikap ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi biarlah secara positif. Mengambil tahu untuk kebaikan adalah langkah terbaik daripada membiarkan jenayah terjadi di depan mata tanpa kita berbuat apa-apa.

Jangan apabila telah berlaku ramai yang tampil memberi komen dan saranan. Setakat bercakap tetapi tidak bertindak juga membazirkan masa. Sedangkan penjenayah kejam bebas melakukan kekejaman tanpa mengira usia mangsa, masa dan tempat.

Apa pun iktibar yang kita peroleh daripada kes Nurin Jazlin adalah, pentingnya ibu bapa menjaga anak-anak dengan lebih serius.

Jangan ambil mudah keselamatan anak-anak. Lebih baik berjaga-jaga sebelum nasi menjadi bubur. Apabila telah terjadi, menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengembalikan keadaan.

Ketika Madrasah Assa’dah saya tinggalkan, masih ada yang menangis dan berpelukan. Seperti mereka, saya juga kalah dengan perasaan sendiri. Pastinya kawasan ini akan menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan seperti mana wajah comel Nurin Jazlin.

Kepada Jazimin dan Norazian, salam takziah dari saya. Semoga cekal menghadapi ujian Tuhan. Redakan pemergian Nurin, anak comel yang dipinjamkan Allah SWT kepada kalian untuk seketika.

Betapa sayang kalian kepadanya, yakinlah sesungguhnya Allah lebih menyayanginya. Ingatlah, Nurin Jazlin kembali kepada pemilik-Nya yang lebih berhak.

Jangan berlarutan menangisi pemergiannya. Panjatkan doa setiap kali solat agar roh Nurin Jazlin dicucuri rahmat dan dihimpun bersama ahli sunnah waljamaah. Bersemadilah dengan tenang wahai Nurin Jazlin. Amin! 
Copy and paste from nurinjazlin.blogspot.com (credit to)...





  
P/S : Sama-samalah kita ambil pengajaran daripada peristiwa hitam ini.Jangan biarkan jenayah berleluasa di Wangsa Maju dan negara kita yang tercinta ini.Ibu bapa terutamanya harus peka dengan keselamatan anak-anak.Amalkan sikap ambil tahu antara komuniti setempat dengan niat yang baik semata-mata.Insya Allah...


Wednesday, April 17, 2013

PRU13 : Kenali Calon-Calon P116 Parlimen Wangsa Maju

Kembali ke topik yang hangat ketika ini dan kadang-kadang sampai tahap dibenci orang iaitu PRU13.
Semalam berakhirnya desas desus calon apabila Pengerusi BN, DS Najib Tun Razak telah pun mengumumkan calon-calon BN untuk semua kerusi Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Kita punyalah tunggu lama pengumuman ni kalau tidak camane nak siapkan post nih ye tak?

Oklah... suka atau tak suka politik, macamana pun sebagai warganegara yang bertanggungjawab mau tak mau kena amek tau jugak calon-calon kawasan anda.Masa depan negara terletak di tangan anda.Kalau tak kenal maka tak layaklah di undi.Melainkan orang tu memang jenis mengundi atas dasar parti semata-mata sampai tak kenal pun calon yang dia pangkah tu.In this case, no komen...

Untuk makluman anda Wangsa Maju kali ni ada perlawanan 3 penjuru iaitu antara calon daripada Bebas, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PKR).Memang sengit PRU13 kat Wangsa Maju ni geng...
Berikut adalah calon-calon P116 yang sudah diputuskan oleh bos masing-masing serta latar belakang ringkas mengenai mereka.

Calon Bebas : YB Wee Choo Keong

Merupakan penyandang kerusi P116.Beliau merupakan seorang peguam sebelum menyertai politik.
Mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari tahun 2008 hingga tahun 2010. Beliau merupakan pengasas Parti Demokratik Malaysia (MDP) dan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung sehingga parti ini ditarik balik pendaftarannya.
Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan Parti Tindakan Demokratik (DAP), namun selepas kegagalannya untuk cuba menggulingkan Lim Kit Siang, beliau disingkirkan daripada DAP. Beliau membawa para penyokongnya untuk menubuhkan Parti Demokratik Malaysia (MDP). 
Beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 atas tiket Parti Keadilan Rakyat di Wangsa Maju atas jemputan DS Anwar Ibrahim dan mengalahkan calon dari BN-MCA, Dato' Yew Teong Look dengan majoriti tipis iaitu sebanyak 150 undi.
Pada 14 Mei 2010, Wee mengumumkan keluar dari PKR dan pada masa yang sama, beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Kuala Lumpur atas sebab tidak berpuas hati dengan skandal rasuah penjualan pasir oleh KSSB di Selangor.

YB WEE CHOO KEONG BAGAIMANAPUN DISAHKAN TIDAK BERTANDING APABILA TIDAK HADIR PADA HARI PENAMAAN CALON 20HB APRIL 2013 SEKALIGUS MENINGGALKAN TANDA TANYA KERANA INI BERTENTANGAN DENGAN KENYATAANNYA SEBELUM INI.DISAHKAN HANYA 2 CALON SAHAJA YANG BERTANDING DI P116 WANGSA MAJU  IAITU ANTARA CALON BN DAN PKR.

                                                            Calon BN : Dato' Mohd Shafie Bin Abdullah

Merupakan seorang peguam yang terkemuka dan mula berkhidmat sebagai peguam pada tahun 1985.Beliau merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri DS Najib Tun Razak.Antara jawatan-jawatan beliau yang lain ialah sebagai Pengerusi BN Wangsa Maju yang baru, menggantikan Dato' Yew Teong Look daripada MCA, Ketua UMNO Cawangan Wangsa Maju dan Ketua Penerangan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.Beliau juga ialah mantan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).Beliau adalah salah seorang muka baru yang cuba diketengahkan pada PRU13.
         Pada 22 Oktober 2009 beliau dilantik mewakili Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) - badan yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik. Pemimpin negara-negara ASEAN turut hadir sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 di Hua Hin, Thailand. Nama beliau telah dicadangkan oleh Wisma Putra dan diterima Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau diharapkan dapat mempertahankan Malaysia daripada sebarang tuduhan berkaitan isu hak asasi serta melaksanakan tugas dengan berkesan semasa menghadiri sidang tersebut.

Calon PKR : Dato' Dr. Tan Kee Kwong

Merupakan bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dari Parti Gerakan. Kini beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat dan memegang jawatan sebagai Ketua Penyelaras PKR Wangsa Maju.
Beliau ialah seorang lepasan Doktor Perubatan pada tahun 1977 dan mula bekerja di United Kingdom (UK) sebagai doktor sebelum pulang ke Malaysia dan membuka kliniknya sendiri pada tahun 1985.
Semasa dalam Parti Gerakan, Dr. Tan menjadi Timbalan Menteri dari 1999 hingga 2004. Beliau diperkenalkan oleh Dato' Alex Lee untuk menceburi bidang politik dan atas tiket BN, beliau menjadi Ahli Parlimen Segambut selama tiga penggal (1995, 1999 dan 2004).
Disebabkan kemelut politik dalam Parti Gerakan dan tidak dicalonkan pada PRU12, beliau kemudiannya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas pelawaan DS Anwar Ibrahim pada Ogos 2008.

SELAMAT MENGUNDI!

Tuesday, April 16, 2013

Apa Kena Dengan CIMB Dan Maybank Kat Sini?

Semua orang Seksyen 1 pernah merasa ada Maybank (Islamik), bersebelahan Madrasah Assa'dah dan CIMB pulak, bertentangan dengan Stesen Minyak Mobil dan Shell.
Tapi tak taulah hapa kena, tiba-tiba dua bank utama ni tutup kedai pastu pindah ke Seksyen 5 bertentangan Wangsa Walk dan AEON Big (dulu Carrefour).
Nak disedapkan cerita, CIMB cawangan Sri Rampai pun tutup! Mahal sangat ke sewanya kalau dibanding untungnya? Atau tuan bangunan kedaung dah tak kasi sewa? 
Bila dah bukak dekat area shopping kompleks ni paham-pahamjelah.Nak carik parking satu hal, dengan ramai orang lagi Sangat padat ngan manusia terutama CIMB tuh! DBKL plak sangat ringan tulang bagi saman parking (Kedai judi internet taknak pulak diserbunya, semua nak kena komplen dulu).
Satu lagi dua-dua bank ini masih mengekalkan polisi tidak mesra pelanggan.Mesin ATM dan deposit semua letak kat bawah, kaunter urusan tingkat atas.Kesian bila tengok atuk-atuk, nenek-nenek naik tangga buat urusan.Memang sangat pelik...
Nasib baik Maybank Islamic baru bukak kat Rampai Bussiness Park, takdela semua nak tertumpu kat Seksyen 5.HSBC pun baru bukak sederet ngan Maybank Islamic ni.
Isunya sekarang bukan tak pernah ada cawangan dorang ni kat Seksyen 1... tapi PERNAH ADA!
Tak ke menyusahkan warga Seksyen 1 sekarang nak berurusan? Nasib baikla ada mesin ATM dekat stesen minyak yang berhampiran ataupun kat Alpha Angle.Kalau nak urusan lain camane? Apa salahnya kekalkan je cawangan tu.Bukan takde pelanggan langsung malah ramai!
Tapi yela... takkan dorang nak ikut cakap kita pulak yer...aptb.
Tinggallah Hong Leong Bank, Public Bank ngan BSN je kat Seksyen 1 ni meneruskan survival mereka.Pesaing utama dah main jauh-jauh.hehehe...

Cawangan Maybank kat Seksyen 5, depan lagi CIMB, carilah parking sampai lebam.

Cawangan Maybank Seksyen 1 yang dah tutup kedai.Sampai sekarang takde lagi orang nak sewa.