Followers

Tuesday, January 20, 2015

Kisah Pasar Larut Malam Di Wangsa Maju

Hari ini kebetulan saya ke rumah kawan saya berdekatan area Pasar Malam Seksyen 1.Selepas meletakkan kereta ditepi jalan dimana sampah sarap sudah dibersihkan, saya pun terpandang seorang peniaga yang masih mundar mandir sambil menyepak batu-batu kecil berdekatan motor tiga rodanya.Ini bukan kali pertama saya terpandang abang ini.Seringkali saya perhatikan beliau antara yang paling lambat berkemas.Kali ini dengan kehendak Allah SWT, saya pun tergerak hati untuk melihat barang jualannya.Saya pun menyapa, "Lambat tutup bang? Semua dah balik.Kul 11.30 dah ni?".Dia pun tersenyum sambil memberi alasan yang mungkin kereta lalu-lalang tengah malam, ada antara mereka yang ingin melihat barang jualannya.Saya pun mengiyakan saja.
Saya perhatikan barang jualannya agak sukar untuk dijual.Maksudnya barang-barang yang bukan keperluan; contohnya topeng-topeng hantu, barang mainan kanak-kanak, kasut-kasut yang agak sizen, lampu suluh, semuanya dalam keadaan sizen dan kuantiti yang kecil.Timbul persoalan di dalam hati, "Siapa yang nak beli barang-barang begini?".Saya pun terpandang mangga (padlock) dan bertanya kepada beliau, "Yang ini berapa bang?".Dia tidak menjawab soalan saya tetapi bersungguh bercerita mangga ini bagus kerana mengeluarkan bunyi alarm.Dia pun menunjukkan saya bagaimana mangga ini berfungsi.Daripada usahanya itu saya perhatikan jari-jarinya yang bengkok menandakan beliau seorang OKU.
Kagum dengan layanan yang mesra dan bersungguh-sungguh, timbul rasa kasihan walaupun saya memang tidak memerlukan mangga itu langsung.Selepas menerangkan penggunaannya saya pun bertanyakan harganya sekali lagi.Sebelum itu saya nampak harga di paketnya itu tertulis RM80.Ketika itu saya sudah berniat akan membayar saja harganya tanpa tawar-menawar."Biasa saya jual RM50 tapi abang saya bagi RM40!".Saya pun bersetuju lantas membayar harga mangga tersebut.Saya teringin membayar RM50 tetapi bimbang beliau akan terasa kerana manusia ini ada kehormatannya sendiri.Saya tidak mahu menjatuhkan martabatnya sebagai seorang peniaga, bukan sebagai seorang peminta sedekah.Saya perhatikan beliau sungguh teruja dan berulang kali memberitahu jika mangga itu ada masalah carilah dia di sekitar situ kerana tempat berniaganya di pasar malam ini tidak tetap.Dia juga menawarkan nombor telepon untuk dihubungi tetapi saya katakan kepadanya saya percaya bahawa mangga ini adalah produk yang baik.
Selepas memberi salam dan meminta diri, saya pun berlalu pergi sambil teringatkan waktu saya berniaga dulu ditepi jalan, tidak ada satu customer pun untuk saya hari itu.Malahan orang yang lalu lalang pun tak pandang barang jualan saya.Sukarnya mengharungi hidup ini jika kita serba kekurangan.Tetapi yakinlah bahawa Allah bersama kita dan percayalah rezeki Allah itu ada untuk setiap hambanya.Yang penting kita tawakal dan berusaha.Abang peniaga pasar larut malam ini sebenarnya lebih mulia daripada mereka yang merompak, mencuri dan meragut.Hati saya sebak.Saya doakan semoga abang ini lapang rezeki dan bahagia hidupnya.Amin...

Pasar malam WMS1, 11.30 malam 19/01/2015.