Followers

Sunday, November 24, 2013

Kasih Sayang Rasulullah Kepada Kucing



Diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza.


Suatu ketika, dikala Nabi hendak mengambil jubahnya, di temuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Kerana tidak mahu mengganggu haiwan kesayangannya itu, Nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya.

Ketika Nabi kembali ke rumah, Muezza terbangun dan tunduk sujud kepada tuannya.

Sebagai balasan, Nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing Baginda itu sebanyak 3 kali.

Dalam peristiwa lain, setiap kali Nabi menerima tetamu di rumahnya, Nabi selalu menggendong Mueeza dan diriba diatas pahanya.

Salah satu sifat Mueeza yang Nabi sukai ialah dia selalu mengiau ketika mendengar azan, dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara Azan.

Kepada para sahabat, Nabi selalu berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan, seperti menyayangi keluarga sendiri.

Hukuman bagi mereka yang menyakiti haiwan manja ini sangatlah berat, dalam sebuah hadis sahih Al Bukhari, dikisahkan tentang seorang wanita yang tidak pernah memberi makan kucingnya, dan tidak pula melepaskan kucingnya untuk mencari makan sendiri.

Nabi SAW pun menjelaskan bahawa hukuman bagi wanita ini adalah siksaan neraka.

Tidak hanya Nabi, isteri Nabi sendiri, Aisyah binti Abu Bakar Ash Siddiq pun amat menyukai kucing, dan merasa amat kehilangan dikala kematian kucingnya.

Seorang sahabat yang juga ahli hadis, Abdurrahman bin Sakhr Al Azdi diberi jolokan Abu Hurairah (bapa kucing), kerana kegemarannya dalam merawat dan memelihara banyak kucing dirumahnya.

Hero (Abam) dalam kenangan (2005-2013)...

R.I.P - 24th November 2013





Tuesday, November 19, 2013

Fakta Tak Masuk Akal Tentang Perokok Yang Tak Perlu Berhenti Merokok


Walaupun rokok telah sekian lama diharamkan. Namun ia tetap menjadi dorongan nafsu untuk melepaskan tekanan.

- Perokok pasif lebih berbahaya daripada perokok aktif.
maka untuk mengurangi risiko tersebut aktiflah merokok.

- Menghindarkan diri dari perbuatan jahat.
kerana tak pernah keluar berita orang yang membunuh, mencuri dan bergaduh sambil merokok.

- Mengurangkan risiko kematian.
dalam berita tidak pernah ditemui orang yang meninggal dalam keadaan merokok.

- Berbuat amal kebaikan.
kalau ada orang yang nak pinjam 'lighter' atau mancis kita dengan segera menghulurkannya.

- Baik untuk persahabatan.
Kalau bertemu kawan-kawan,segera mempelawa mereka sebatang rokok.

- Memberikan  kerja kepada pekerja kilang rokok, doktor, pekedai runcit, penyeludup rokok,serta kastam.

- Boleh menambah suasana kedamaian atau nature.
Didalam ruang berhawa dingin dengan asapnya, sehingga seolah-olah berkabus waktu pagi di Cameron Highland.

- Menghilangkan bau wangi-wangian bagi yang alergik dengan bau perfume.

- Melatih kesabaran dan menambah semangat pantang menyerah kerana bagi pemulaan untuk merokok itu tidak mudah; batuk-batuk dan tersedak tapi tetap diteruskan (bagi yang lulus).

- Untuk indikator kesihatan seseorang, biasanya orang yang sakit pasti dilarang untuk merokok. Jadi yang merokok itu pasti orang sihat.

- Menambah kenikmatan : Waktu petang minum kopi dan makan pisang goreng sungguh nikmat. Pastu merokok. Perghhh....!

- Anti pencuri, suara perokok batuk di malam hari mujarab untuk menakutkan pencuri atau perompak.

- Membantu shooting filem jahat, rokok digunakan penjahat untuk menampakkan dirinya seperti orang yang jahat.

- Pelakon filem cowboy dan gangster-gangster macam 'Young And Dangerous' atau 'KL Gangster' pasti lebih bergaya jika merokok sebelum bergaduh tembak-menembak.


Monday, November 4, 2013

Maal Hijrah 2013 : Mencipta Kejayaan Dunia Dan Akhirat


Hidup yang kita jalani setiap hari menuntut pengorbanan yang melelahkan. Bahkan bagi sesetengah orang mereka terpaksa bermandi keringat bertungkus lumus membina kehidupan dan tidak kurang yang menitiskan airmata demi mendapatkan kebahagiaan yang diidamkan. Manusia hanya boleh berusaha, namun Allah SWT saja yang menentukannya.

Permasalahannya adalah jika kita kurang berusaha, cepat menyerah, berkeluh kesah dan akhirnya menyalahkan orang lain di atas kegagalan kita. Alangkah ruginya jika kebanyakan umat Islam masih memiliki mentaliti yang sedemikian. Pada awal tahun Hijriyah ini, sudah sepatutnya kaum Muslimin menilai kembali pencapaian mereka dan bijak menemukan kekurangan dan kelemahan yang menjejaskan kegemilangan diri, umat, bangsa dan negara. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhati apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: Ayat 18)

Mencipta skrip kejayaan dunia akhirat
Sejarah hijrah yang agung sentiasa menyuntik semangat pada diri setiap orang beriman. Kejayaan Rasulullah SAW merancang perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah dengan tuntunan wahyu Allah jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepakaran berfikir dan bertindak dengan kebijaksanaan amat penting untuk menjayakan sesuatu perancangan. Pernahkah anda menuliskan tentang apa-apa pencapaian yang mesti diperolehi dan apa langkah-langkah untuk mewujudkannya? Bagaimana dengan kerja dan usaha yang dilakukan? Sudahkah dibuat dengan bersungguh-sungguh? Ingatlah perjalanan hijrah Rasulullah SAW yang penuh dengan penderitaan. Adakah kita melalui jalan yang sama? Jalan untuk mencapai kejayaan dunia akhirat. Prof. McClelland (1958), seorang pakar psikologi yang banyak mempelopori kajian ke atas psikologi kejayaan individu mendapati dalam kajiannya tentang ciri-ciri personaliti yang berjaya ialah:
i. Mereka yang melaksanakan tugas yang mencabar dengan penuh tanggungjawab.
ii. Mereka memiliki dorongan yang kuat untuk memajukan diri sendiri.
iii. Mereka amat mementingkan penilaian atas kerja-kerja yang dibuat untuk kemajuan yang lebih baik lagi.
Tiga ciri seperti di atas sangat elok untuk diterapkan dalam kehidupan peribadi Muslim. Ciri-ciri seperti inilah yang ada pada diri Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dan dalam peristiwa hijrah ternyata amat terserlah personaliti berkenaan.

Berterimakasih kepada kawan dan lawan demi kejayaan
Untuk mencapai cita-cita kita perlukan orang lain yang sudi membantu. Jika kelemahan kita dalam soal ibadat, maka kenapa kita tidak berbaik-baik dengan kawan yang alim lagi soleh? Jika kemalasan dan sikap tak bertanggungjawab ada pada diri kita, lebih elok jika berkawan dengan orang-orang yang berjaya dalam hidupnya. Itulah kebaikan bergaul dalam kehidupan sehari-hari. Jangan anda merasa hanya kawan yang baik saja yang boleh membantu kejayaan anda bahkan lawanpun sebenarnya memberi impak yang positif dalam menjana kejayaan itu. Beruntung jika anda mempunyai lawan, ia adalah cabaran bagi anda. Anda dapat khidmat darinya dengan ikhlas yang boleh dijadikan perunding dan penasihat tanpa bayaran. Jangan bersedih jika mempunyai lawan dalam kehidupan anda. Manfaatkan ia demi pencapaian yang lebih menguntungkan. Demikianlah teladan dari hikmah hijrah yang mana Rasulullah SAW sentiasa berfikir positif di tengah-tengah lawan yang ganas dan tanpa berputus asa sedikitpun dalam perjuangannya.

Bersyukur kepada Allah atas kejayaan dan cepat bangkit dari kejatuhan
Umat Islam yang hidup dihimpit oleh kuasa-kuasa besar dunia terpaksa bersaing untuk tidak tenggelam dalam arus kemajuan moden. Jika pada diri umat Muhammad bersemadi kekuatan, semangat keberanian dan kebijaksanaan yang diambil dari saripati buah hijrah yang ranum dan manis, ia boleh menjadi ubat mujarab bagi penyakit umat ini. Semangat itu seperti obor yang membakar diri Salahuddin Al-Ayyubi dan pengganti-pengganti beliau di bumi Palestin. Bagaimana dengan kita? Adakah kita menghargai hidup yang aman damai di bumi Malaysia ini dengan penuh kesyukuran? Apakah kerja-kerja yang sudah dibuat demi umat, bangsa dan negara untuk memastikan kejayaannya berkekalan? Kita amat lantang menyuarakan keamanan sejagat dan menolak peperangan. Namun kita hanya bisa berteriak dan menangis melihat anak-anak kecil di Iraq terkena radiasi senjata nuklear dan kaum wanita amat takut melahirkan anak-anak yang cacat. Sementara bumi Palestin masih lagi ditawan Yahudi laknatullah yang lantang menghina dengan kata-katanya bahawa ”Muhammad hanya mengirimkan pondan-pondan untuk bertempur”. Kita belum bisa unjuk gigi taring kepada kuasa besar dunia, keupayaan kita terlalu sedikit dan masih banyak yang perlu diusahakan dengan bermujahadah. Sahutlah cabaran hijrah dengan peranan masing-masing untuk kejayaan umat. Pada awal bulan Muharram ini sekali lagi kita ketuk pintu hati kita, perjuangan hijrah Nabi SAW harus diteruskan. Kitalah yang menjadi pejuang, aktor dan aktivisnya serta seharusnya umat Islam di Malaysia sedar bahawa kebangkitan Islam mesti dimulakan dari peribadi anda, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.


Pahang Juara Piala Malaysia Edisi 2013

Pahang muncul juara Watsons Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Jaringan tunggal perlawanan hadir di minit ke-58, apabila Matias Conti berjaya menanduk masuk
hantaran cantik Azzamuddin Mohd Akil. Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan cuba bangkit dengan mengatur beberapa serangan merbahaya namun gagal membolosi gawang lawan.

Terdahulu, Aksi kedua-dua pasukan di awal perlawanan jelas terencat akibat hujan lebat membasahi padang Stadium Shah Alam. Pahang dilihat lebih menguasai perlawanan sepanjang perlawanan dengan kerap kali mengasak kubu Kelantan.
Di minit ke-11, Pahang mencipta peluang pertama hasil hantaran R. Gopinathan, namun mereka tidak diberi ruang untuk melakukan rembatan.

Pahang dihadiahkan sepakan percuma di minit ke-13 selepas Nik Mohd Shahrul Azim dipersalahkan kerana menjatuhkan Azzamuddin Mohd Akil, namun tendangan tersebut gagal disempurnakan dengan baik.

Manakala Kelantan mencipta peluang terbaik menerusi sepakan percuma yang diambil Indra Putra Mahayuddin, bagaimanapun ia sedikit tersasar ke sebelah kanan gol.

Di minit ke-20, Azzamuddin berjaya mengelirukan pertahanan Kelantan, pun begitu sepakannya sedikit melewati palang gol.

Lima minit kemudian, Damion Delano Stewart dipersalahkan kerana menjatuhkan Dickson Nwakaeme dan ia sekaligus menghadiahkan sepakan percuma kepada Kelantan. Sepakan yang di ambil Badri Radzi terkena benteng lawan.

Tidak lama kemudian, Pahang meraih peluang terbaik sepanjang babak pertama selepas rembatan Matias Conti hanya terkena palang gol.
Sebaik babak kedua bermula, Pahang terus mengasak kubu Kelantan. Fauzi Roslan yang dimasukkan menggantikan Gopinathan tiba-tiba muncul melakukan rembatan ketika keadaan kelam kabut berlaku di kubu Kelantan. Sikap terburu-burunya membuatkan rembatan jauh tersasar.

Corak perlawanan di babak kedua lebih tersusun berikutan hujan mula berhenti. Di minit ke-82, Bojan Hodak membuat pertukaran dengan mengeluarkan Badri Radzi bagi menggantikan dengan Faiz Subri. Sejurus dimasukkan, Faiz nyata mensia-siakan peluang apabila peluang di depan gol.

Di penghujung perlawanan Kelantan banyak mengasak namun tiada percubaan tepat dapat dilakukan. Pertahanan Pahang jelas kebal, apabila rembatan dekat Farhan berjaya di sekat penjaga gol Pahang, Mohd Nasrir Mat Nourdin. Perlawanan kekal berkesudahan 1-0 berpihak kepada Pahang.