Followers

Showing posts with label Pendapat. Show all posts
Showing posts with label Pendapat. Show all posts

Wednesday, January 1, 2014

Cabaran 2014 Menjelma Sudah

Tiada sambutan besar-besaran tahun baru kali ini.Semua bercerita tentang langkah jimat cermat secara total seluruh negara.Tak kira daripada peringkat atasan mahupun bawahan, tidak kira dimana, di sektor kerajaan atau swasta, isu berjimat-cermat menjadi agenda penting pada tahun 2014 ini.
Dikala Pantai Timur baru pulih daripada banjir, kita dikejutkan pula dengan banjir di Sarawak pada ambang pengakhiran 2013.Itu belum menyentuh pelbagai isu sensitif seperti GST, subsidi minyak, takrif elektrik, kadar tol, kalimah 'Allah', Agama Syiah dan sebagainya.Serba tidak kena Malaysia sekarang semenjak era siber dan sentimen politik menguasai pemikiran dan kehidupan majoriti rakyat Malaysia.
Sebenarnya rakyat Malaysia sudah pun melakukan yang terbaik untuk negara ini pada PRU13.Pilihan kita pada PRU13 yang lepas tidak semestinya tepat dan tidak pula semestinya salah.Semua mahukan yang terbaik untuk negara yang tercinta ini bukan?
Perlulah diingatkan, kuasa rakyat bukanlah muncul lima tahun sekali. Kita berhak mengutarakan bantahan dan pandangan melalui wakil yang kita pilih asalkan kita semua bersatu tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.Jauhkan perasaan hasad dengki dan saling berdendam.Kita harus bijak membezakan antara politik dan isu kepentingan bersama.Jangan jadikan diri kita mangsa manipulasi politikus-politikus dan agen-agen mereka.Mereka tiada apa-apa tanpa undi kita.Yang penting kita harus maufakat dan apabila bersuara, biarlah hanya satu dan kuat supaya suara kita digeruni.

TIDAK KIRA KITA DIBAWAH KERAJAAN BN ATAU PR, marilah kita kembali seperti kita yang dahulu; dikagumi dan dihormati oleh negara luar!

Apapun kita wajib bersyukur kerana diberikan nyawa dan nafas oleh Allah SWT untuk menempuh liku-liku kehidupan yang mendatang.

Semoga kita semua rakyat Malaysia diberi perlindungan dan selamat sejahtera di bawah rahmat Allah SWT.

Amin Ya Rabbal Alamin...

01HB JANUARI 2014

Wednesday, December 25, 2013

Surat Terbuka Orang (Parlimen) WM Untuk PM



Sempena pembentangan bajet 2014...
Mari kita baca surat terbuka rakan kita ni dengan berfikiran terbuka tanpa terkurung dalam pemikiran politik yang sempit.

Surat Siti Hajar Aladin Kepada Najib Razak (Perdana Menteri). 

Gaji Bersih RM2032 di KL? Simpanan RM233.40. Boleh Beli Rumah Apa? 

Assalamualaikum Dato’ seri.. 

Tujuan saya (Siti Hajar) menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri. Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat Malaysia.

Saya menulis surat ini adalah…sifat keberanian dalam diri saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah 'Negara Pesat Membangun' bukan 'Negara Yang Sedang Membangun.'

Sejak akhir-akhir ini isu minyak diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan.

Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur baru 27 tahun. Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga? Pasti mereka lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan?

Mengenai BR1M. Pada mereka yang diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak. Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak?

Kerajaan mengatakan bahawa pemberian BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik.

BR1M @ Subsidi Minyak?

Dato Seri Najib Razak,

Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan middle income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah saya juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan middle income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti bakal menerajui negara sendiri?

Seterusnya pula, Boleh dikatakan golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000 dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung keluarga.

Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami.

Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate)
Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M)
Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta)
Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go)
Parking : 23 hari x RM5 = RM115
Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja)
Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik)
PTPTN : RM150 (minimum)
Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15)
Ibu Ayah = RM200
Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200
TOTAL BAKI : RM213.40

Lonjakan Harga Rumah di Malaysia

Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan.

Apabila kita melihat baki bulanan yang sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali. Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati, Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717. Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan Hartanah.

Saya telah kira RM213 hanya mampu membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini? Di kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan. Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami.


Gaji Rakyat Malaysia?

Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah, saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita.

Seterusnya, mengenai status penjawat awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government, sukar mendapatkan jawatan tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya. Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini.

Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri Najib Razak dapat memikirkan masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan apa yang dirasakan membebankan kami.

Terima kasih
Ikhlas,
Siti Hajar binti Aladin


Monday, November 4, 2013

Maal Hijrah 2013 : Mencipta Kejayaan Dunia Dan Akhirat


Hidup yang kita jalani setiap hari menuntut pengorbanan yang melelahkan. Bahkan bagi sesetengah orang mereka terpaksa bermandi keringat bertungkus lumus membina kehidupan dan tidak kurang yang menitiskan airmata demi mendapatkan kebahagiaan yang diidamkan. Manusia hanya boleh berusaha, namun Allah SWT saja yang menentukannya.

Permasalahannya adalah jika kita kurang berusaha, cepat menyerah, berkeluh kesah dan akhirnya menyalahkan orang lain di atas kegagalan kita. Alangkah ruginya jika kebanyakan umat Islam masih memiliki mentaliti yang sedemikian. Pada awal tahun Hijriyah ini, sudah sepatutnya kaum Muslimin menilai kembali pencapaian mereka dan bijak menemukan kekurangan dan kelemahan yang menjejaskan kegemilangan diri, umat, bangsa dan negara. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhati apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: Ayat 18)

Mencipta skrip kejayaan dunia akhirat
Sejarah hijrah yang agung sentiasa menyuntik semangat pada diri setiap orang beriman. Kejayaan Rasulullah SAW merancang perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah dengan tuntunan wahyu Allah jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepakaran berfikir dan bertindak dengan kebijaksanaan amat penting untuk menjayakan sesuatu perancangan. Pernahkah anda menuliskan tentang apa-apa pencapaian yang mesti diperolehi dan apa langkah-langkah untuk mewujudkannya? Bagaimana dengan kerja dan usaha yang dilakukan? Sudahkah dibuat dengan bersungguh-sungguh? Ingatlah perjalanan hijrah Rasulullah SAW yang penuh dengan penderitaan. Adakah kita melalui jalan yang sama? Jalan untuk mencapai kejayaan dunia akhirat. Prof. McClelland (1958), seorang pakar psikologi yang banyak mempelopori kajian ke atas psikologi kejayaan individu mendapati dalam kajiannya tentang ciri-ciri personaliti yang berjaya ialah:
i. Mereka yang melaksanakan tugas yang mencabar dengan penuh tanggungjawab.
ii. Mereka memiliki dorongan yang kuat untuk memajukan diri sendiri.
iii. Mereka amat mementingkan penilaian atas kerja-kerja yang dibuat untuk kemajuan yang lebih baik lagi.
Tiga ciri seperti di atas sangat elok untuk diterapkan dalam kehidupan peribadi Muslim. Ciri-ciri seperti inilah yang ada pada diri Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dan dalam peristiwa hijrah ternyata amat terserlah personaliti berkenaan.

Berterimakasih kepada kawan dan lawan demi kejayaan
Untuk mencapai cita-cita kita perlukan orang lain yang sudi membantu. Jika kelemahan kita dalam soal ibadat, maka kenapa kita tidak berbaik-baik dengan kawan yang alim lagi soleh? Jika kemalasan dan sikap tak bertanggungjawab ada pada diri kita, lebih elok jika berkawan dengan orang-orang yang berjaya dalam hidupnya. Itulah kebaikan bergaul dalam kehidupan sehari-hari. Jangan anda merasa hanya kawan yang baik saja yang boleh membantu kejayaan anda bahkan lawanpun sebenarnya memberi impak yang positif dalam menjana kejayaan itu. Beruntung jika anda mempunyai lawan, ia adalah cabaran bagi anda. Anda dapat khidmat darinya dengan ikhlas yang boleh dijadikan perunding dan penasihat tanpa bayaran. Jangan bersedih jika mempunyai lawan dalam kehidupan anda. Manfaatkan ia demi pencapaian yang lebih menguntungkan. Demikianlah teladan dari hikmah hijrah yang mana Rasulullah SAW sentiasa berfikir positif di tengah-tengah lawan yang ganas dan tanpa berputus asa sedikitpun dalam perjuangannya.

Bersyukur kepada Allah atas kejayaan dan cepat bangkit dari kejatuhan
Umat Islam yang hidup dihimpit oleh kuasa-kuasa besar dunia terpaksa bersaing untuk tidak tenggelam dalam arus kemajuan moden. Jika pada diri umat Muhammad bersemadi kekuatan, semangat keberanian dan kebijaksanaan yang diambil dari saripati buah hijrah yang ranum dan manis, ia boleh menjadi ubat mujarab bagi penyakit umat ini. Semangat itu seperti obor yang membakar diri Salahuddin Al-Ayyubi dan pengganti-pengganti beliau di bumi Palestin. Bagaimana dengan kita? Adakah kita menghargai hidup yang aman damai di bumi Malaysia ini dengan penuh kesyukuran? Apakah kerja-kerja yang sudah dibuat demi umat, bangsa dan negara untuk memastikan kejayaannya berkekalan? Kita amat lantang menyuarakan keamanan sejagat dan menolak peperangan. Namun kita hanya bisa berteriak dan menangis melihat anak-anak kecil di Iraq terkena radiasi senjata nuklear dan kaum wanita amat takut melahirkan anak-anak yang cacat. Sementara bumi Palestin masih lagi ditawan Yahudi laknatullah yang lantang menghina dengan kata-katanya bahawa ”Muhammad hanya mengirimkan pondan-pondan untuk bertempur”. Kita belum bisa unjuk gigi taring kepada kuasa besar dunia, keupayaan kita terlalu sedikit dan masih banyak yang perlu diusahakan dengan bermujahadah. Sahutlah cabaran hijrah dengan peranan masing-masing untuk kejayaan umat. Pada awal bulan Muharram ini sekali lagi kita ketuk pintu hati kita, perjuangan hijrah Nabi SAW harus diteruskan. Kitalah yang menjadi pejuang, aktor dan aktivisnya serta seharusnya umat Islam di Malaysia sedar bahawa kebangkitan Islam mesti dimulakan dari peribadi anda, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.


Monday, October 21, 2013

Budaya Minum Luar Orang Jepun Dan Malaysia

Rakyat Jepun terkenal di  dunia dengan sikap mereka yang rajin bekerja, malah kadang-kadang etika kerja mereka disamakan dengan robot. Komitmen mereka terhadap kerja tidak dapat dinafikan. Walaupun waktu bekerja atau waktu perniagaan sudah berakhir, pekerja akan tetap melayan pelanggan yang baru datang dan tidak tergesa-gesa untuk menutup pejabat atau kedai mereka.




Mereka juga sangat profesional ketika waktu kerja. Sukar untuk melihat mereka berbual kosong dengan sekerja di hadapan pelanggan, walaupun di kedai kecil di kawasan luar bandar. Mungkin ada yang melihat budaya minum bersama rakan sekerja selepas selesai waktu bekerja adalah satu alasan untuk tidak pulang awal ke rumah, namun begitu sebenarnya ia satu aktiviti untuk mengeratkan hubungan sesama pekerja dan di antara pekerja dan majikan.

Bagi mereka yang sudah bersara pula, mereka tidak akan berdiam diri di rumah. Malah keluar bersiar-siar, melancong atau menyertai persatuan yang menepati hobi dan kepakaran mereka. Sikap mereka yang gemar untuk kekal aktif walaupun sudah berumur merupakan antara faktor mereka kekal sihat dan berumur panjang.

Orang Jepun juga sangat berdisiplin dalam menepati masa. Buka saja dalam waktu bekerja, malah juga ketika bertemu janji dengan rakan. Bagi mereka, satu saat sangat bermakna dan boleh melakukan apa saja aktiviti di dalam sesaat itu. Ketika melintas jalan, dapat di lihat mereka tidak akan membazir masa menunggu dan akan terus berlari jika lampu trafik bertukar kuning.




Manfaat Masa

Ketika di dalam kereta api dan bas, mereka akan menghabiskan masa, walau lima minit dengan membaca buku, novel, komik atau surat khabar. Waktu ketibaan dan pelepasan kenderaan awam juga tidak pernah terawal atau terlewat. Inilah yang membuatkan penduduk mereka mudah merancang perjalanan berdasarkan jadual kenderaan awam yang menepati masa.

Rakyat Jepun juga sangat berdisiplin ketika menggunakan perkhidmatan kenderaan awam. Mereka tidak akan berebut-rebut untuk turun atau naik, malah akan berbaris dalam satu barisan lurus, mengikut garisan yang tertulis di lantai ketika menaiki kereta api atau bas.

Segalanya sangat sistematik dan memudahkan semua pengguna tanpa perlu dipantau atau diuruskan oleh sesiapa.




Disiplin turut mengajar mereka untuk bersikap jujur. Walaupun mereka tidak beragama dan tidak berpegang kepada satu-satu kepercayaan, mengambil sesuatu yang bukan hak mereka merupakan satu kesalahan besar. Jika ada tercicir sesuatu seperti dompet atau dokumen penting di tengah jalan, kemungkinan besar anda akan dapat semula barang-barang tersebut atau sekurang-kurangnya berada dalam jagaan pihak berkuasa seperti polis atau pihak pengurusan.

Mereka juga sangat berdisiplin dalam isu kebersihan. Penulis pernah berbual dengan rakyat Jepun yang menggunakan tangannya sendiri sebagai tempat abu rokok ketika berbual sambil merokok. Abu rokok itu hanya akan di buang jika tong sampah atau bekas abu rokok sudah dijumpai. Penulis berasa kagum ketika kita rakyat Malaysia sendiri membuang abu rokok merata-rata ketika merokok. Malu tidak terkata...


Wednesday, July 17, 2013

Rahsia Lagu-Lagu Aidilfitri Yang Evergreen



Apabila bercakap mengenai berpuasa, dah lebih seminggu kita menjalani kehidupan dalam kesederhanaan. Tak lama lagi nak raya, jadi pastinya stesen radio berlumba-lumba menyajikan kita dengan bermacam-macam lagu raya.

Pun begitu, 99 peratus, saya tetap menyukai lagu raya versi lama atau asal, malahan terus menjadi pilihan stesen radio utama juga. Kenapa senario seperti ini berlaku? Jadi, di sini saya ingin berkongsi pendapat, kenapa lagu raya versi asli tetap menjadi pilihan stesen radio berbanding lagu raya yang dirakam semula dan diberi nafas baru.



Bagi saya secara peribadi, lagu raya versi asli atau yang lama lebih menusuk kalbu. Budaya muzik dan nyanyiannya, memang budaya Melayu 100 peratus. Penyanyi yang memberi nafas baru kepada lagu raya asli, lebih menjana ke arah kebaratan yang langsung tidak ada jiwa Melayu.



Seperkara lagi, peralatan muzik yang digunakan tidak asli, bunyinya seolah-olah palsu. Mutunya tidak sama dengan peralatan muzik zaman dulu. Dulu peralatan muzik semuanya asli, tidak ada sampler dan sintesis. Di situ saja sudah hilang keaslian muzik berkenaan sebanyak 60 peratus, ditambah dengan nyanyian yang tidak ke arah kemelayuan, peratusan terlalu banyak kebaratan.


Apabila kita orang Melayu, jiwa kita apabila Hari Raya, mesti hendak balik kampung, kita ibarat balik ke asal, 'Back To Basic', pulangnya ke kampung berhari raya, budaya Melayunya terlalu tebal. Bersama iringan muzik yang tebal jiwanya dengan budaya Melayu, di situlah keutamaan lagu raya yang asli senang di terima, budaya Melayu harus kekal 100 peratus, bermula dari alat muzik hinggalah nyanyian penyanyi berkenaan.

Kepada komposer yang ingin menghasilkan lagu raya moden, jiwa lagu itu harus menuju kemelayuan 100 peratus. Jiwa Melayu kita tidak boleh dimodenkan. Budaya Melayu tidak boleh dibunuh dalam jiwa lagu raya itu. Cita rasa saya secara peribadi, saya menerima saja lagu raya versi lama mahupun baru asalkan ia berteraskan keadaan dan budaya hari raya.



P/S : Lagu raya kegemaran saya adalah dendangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee (Dendang Perantau), Allahyarham Sudirman Haji Arshad (Balik Kampung) dan tidak lupa daripada kumpulan Black Dog Bone (Cahaya Di Aidilfitri). Anda bagaimana?