Followers

Monday, October 21, 2013

Budaya Minum Luar Orang Jepun Dan Malaysia

Rakyat Jepun terkenal di  dunia dengan sikap mereka yang rajin bekerja, malah kadang-kadang etika kerja mereka disamakan dengan robot. Komitmen mereka terhadap kerja tidak dapat dinafikan. Walaupun waktu bekerja atau waktu perniagaan sudah berakhir, pekerja akan tetap melayan pelanggan yang baru datang dan tidak tergesa-gesa untuk menutup pejabat atau kedai mereka.




Mereka juga sangat profesional ketika waktu kerja. Sukar untuk melihat mereka berbual kosong dengan sekerja di hadapan pelanggan, walaupun di kedai kecil di kawasan luar bandar. Mungkin ada yang melihat budaya minum bersama rakan sekerja selepas selesai waktu bekerja adalah satu alasan untuk tidak pulang awal ke rumah, namun begitu sebenarnya ia satu aktiviti untuk mengeratkan hubungan sesama pekerja dan di antara pekerja dan majikan.

Bagi mereka yang sudah bersara pula, mereka tidak akan berdiam diri di rumah. Malah keluar bersiar-siar, melancong atau menyertai persatuan yang menepati hobi dan kepakaran mereka. Sikap mereka yang gemar untuk kekal aktif walaupun sudah berumur merupakan antara faktor mereka kekal sihat dan berumur panjang.

Orang Jepun juga sangat berdisiplin dalam menepati masa. Buka saja dalam waktu bekerja, malah juga ketika bertemu janji dengan rakan. Bagi mereka, satu saat sangat bermakna dan boleh melakukan apa saja aktiviti di dalam sesaat itu. Ketika melintas jalan, dapat di lihat mereka tidak akan membazir masa menunggu dan akan terus berlari jika lampu trafik bertukar kuning.




Manfaat Masa

Ketika di dalam kereta api dan bas, mereka akan menghabiskan masa, walau lima minit dengan membaca buku, novel, komik atau surat khabar. Waktu ketibaan dan pelepasan kenderaan awam juga tidak pernah terawal atau terlewat. Inilah yang membuatkan penduduk mereka mudah merancang perjalanan berdasarkan jadual kenderaan awam yang menepati masa.

Rakyat Jepun juga sangat berdisiplin ketika menggunakan perkhidmatan kenderaan awam. Mereka tidak akan berebut-rebut untuk turun atau naik, malah akan berbaris dalam satu barisan lurus, mengikut garisan yang tertulis di lantai ketika menaiki kereta api atau bas.

Segalanya sangat sistematik dan memudahkan semua pengguna tanpa perlu dipantau atau diuruskan oleh sesiapa.




Disiplin turut mengajar mereka untuk bersikap jujur. Walaupun mereka tidak beragama dan tidak berpegang kepada satu-satu kepercayaan, mengambil sesuatu yang bukan hak mereka merupakan satu kesalahan besar. Jika ada tercicir sesuatu seperti dompet atau dokumen penting di tengah jalan, kemungkinan besar anda akan dapat semula barang-barang tersebut atau sekurang-kurangnya berada dalam jagaan pihak berkuasa seperti polis atau pihak pengurusan.

Mereka juga sangat berdisiplin dalam isu kebersihan. Penulis pernah berbual dengan rakyat Jepun yang menggunakan tangannya sendiri sebagai tempat abu rokok ketika berbual sambil merokok. Abu rokok itu hanya akan di buang jika tong sampah atau bekas abu rokok sudah dijumpai. Penulis berasa kagum ketika kita rakyat Malaysia sendiri membuang abu rokok merata-rata ketika merokok. Malu tidak terkata...


Sunday, October 13, 2013

Keistimewaan Kota Mekah Dan Kota Madinah (Tanah Haram)

MEKAH dan MADINAH adalah dua kota suci dalam Islam. Di dalam al-Quran dan hadis, dua kota itu sering disebut juga dengan Tanah Haram (Al-Balad Al-Haram). Kata haram bererti larangan atau tegahan.

Sebagai kawasan yang dimuliakan, tidak menghairankan jika Tanah Haram memiliki peraturan bagi orang-orang yang tinggal di dalamnya.

Salah satu peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah larangan bagi golongan bukan Islam memasuki Masjidilharam. Ia terkandung dalam firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 28 bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin, maka Allah akan memberikan kekayaan kepadamu dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Berikut dipaparkan antara keistimewaan kedua-dua kota suci tersebut:

KOTA MEKAH


TERDAPAT satu ruangan tanah di planet bumi yang diistimewakan Allah. Ia adalah sebidang tanah seluas lebih kurang 540 kilometer persegi. Inilah tanah tempat Allah pertama kali meletakkan bangunan rumah-Nya di bumi, yakni Kaabah. Itulah juga sebagai tempat tumpuan kiblat manusia sejagat.

Mekah di dalam al-Quran disebut berkali-kali dengan terminologi berbeza. Ini menunjukkan betapa kelebihan Mekah sangat banyak dibanding kota-kota lain di dunia ini.

Selain Mekah, di dalam al-Quran Allah menyebut kota suci ini sebagai Bakkah (lembah air mata), Ummul Qura (perkampungan tua), al-Balad (negeri), al-Balad al-Amin (negeri yang aman), al-Baddah (negeri), Haram Amin (tanah suci yang aman), Wad Ghairu Dzi Zar?in (lembah yang gersang) Ma'ad (tempat kembali), Qaryah (negeri/kampung), al-Masjid al-Haram dan lain-lain.

Dalam buku Sejarah Mekah Dulu dan Kini, tulisan Dr.Muhammad Abdul Gani, Maktab Al-Malik Fahd, edisi kedua, Madinah 2003, disebutkan, beberapa kelebihan Mekah iaitu :

* Tempat dibangunnya rumah Allah (Baitullah) pertama kali.

* Kota kelahiran Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman.

* Tempat pertemuan Adam dan Hawa yang mana setelah dikeluarkan dari syurga, mereka berdua hidup mengembara selama 200 tahun sehingga Allah mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah, Arafah.

* Tempat beribadah para hamba-Nya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya mengerjakan haji.

* Tempat yang tidak boleh seorangpun masuk ke dalamnya kecuali dengan kerendahan hati, khusyuk dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia.

* Tempat yang dijadikan Allah sebagai tanah suci yang aman, yang tidak boleh ada pertumpahan darah di sana.

* Tempat yang dimaksudkan untuk menghapus dosa-dosa masa lalu.

* Tempat yang Allah mensyariatkan kepada manusia untuk bertawaf di Kaabah.

* Tempat yang Allah mewajibkan bagi orang-orang yang mampu untuk mengunjunginya.

* Tempat yang tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hamba-hamba-Nya untuk menghadap dan melambaikan tangan, kecuali kepada Kaabah, Hajarul Aswad, Rukun Yamani yang adanya di kota Makkah.

* Tempat yang tidak ada di muka bumi ini suatu masjid pun, yang memiliki keistimewaan bagi siapa saja yang solat di dalamnya maka pahalanya akan dilipatgandakan 100,000 kali.

* Tempat yang dilarang oleh Allah untuk menghadap atau membelakanginya pada waktu buang hajat.

* Tempat yang Allah memberikan balasan bagi siapa saja yang berniat jahat, walaupun belum melakukannya. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya akan dilipatgandakan. Ia kerana melakukan kejahatan di tanah suci, lebih besar dosanya dibandingkan di tempat-tempat lain.

* Tempat-tempat yang mustajab bagi orang-orang yang berdoa di sana, misalnya di Hajar Aswad, di Rukun Yamani, di makam Ibrahim, di Hijir Ismail, di telaga Zamzam, di Arafah saat berwukuf dan lain-lain.

* Tempat di mana Allah pernah bersumpah atas nama negeri Mekah seperti dituturkan-Nya dalam surah At-Tiin, kalau tidak kerana istimewanya Mekah, Allah tentu tidak perlu mengangkat sumpah atas nama negeri yang sarat dengan sejarah itu;

* Tempat yang sentiasa dijaga para malaikat.

* Tempat adanya telaga zam-zam yang luar biasa.

MADINAH


SATU-SATUNYA tanah yang Rasulullah SAW sahkan boleh digunakan untuk mengubat penyakit dengan izin Allah SWT ialah tanah di kawasan tanah haram Madinah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda;

"Dengan nama Allah, debu tanah kita (yang dicampur) dengan air liur setengah daripada kita menyembuhkan dari penyakit kita dengan izin Allah."

Dalam soal keistimewaan meninggal dunia di Madinah, Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah hendaklah dia meninggal dunia di sana, kerana aku akan memberi syafaat bagi pihak setiap orang yang meninggal dunia di situ." (Riwayat Al-Tirmizi)

Madinah merupakan salah satu dari dua kota suci Islam yang dikawal para malaikat sepanjang masa. Kawalan yang dibuat itu ialah bagi menghindari penyakit taun dan serangan Dajjal. Seperti yang kita tahu bahawa di akhir zaman kelak, Dajjal akan muncul di setiap kota dan desa. Namun begitu Madinah dan Mekah tidak dapat dimasuki Dajjal kerana ia dikawal oleh para makaikat yang diutus Allah SWT. bagi tujuan tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut Rasulullah SAW bersabda bahawa Dajjal akan muncul di setiap kota melainkan Madinah dan Makkah. Dia tidak dapat masuk kerana malaikat akan melindungi kedua-dua kota itu.


Saturday, October 12, 2013

10 Fakta Menarik JPN dan Sejarah Pendaftaran Warga Malaysia

Pernah ke Jabatan Pendaftran Negara?

Mustahil tidak pernah. Kalau tak pernah ke Jabatan Imigresen tu lain lah. Bukan semua orang nak buat pasport. Sempena Hari Pendaftaran Negara pada 1 hb Oktober setiap tahun, di sini terdapat 10 fakta menarik untuk di baca oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan.


1. Sejarah membuktikan bahawa undang-undang untuk mendaftarkan kelahiran telah wujud semenjak tahun 1868 di bawah Ordinance No. XVIII of 1868 (An Ordinance for the registration of Births and Deaths, Province Wellesly, 1st October 1868).

2. Dokumen pengenalan diri khususnya Sijil Lahir telah dikeluarkan bermula pada tahun 1881 apabila Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Tanah Melayu yang mendaftarkan kelahiran seorang individu bernama 'Mat'.

3. Pemilihan 1 hb Oktober sebagai Hari Pendaftaran Negara mengambil kira peristiwa-peristiwa berikut :
Pertama, pada 1 hb Oktober 1868, Undang-Undang Pendaftaran Negara buat pertama kalinya dikuat kuasakan di Negeri-Negeri Selat dan peristiwa yang kedua, juga pada berlaku pada 1 hb Oktober 1948 apabila kad pengenalan pertama dalam bentuk kertas dikeluarkan bertujuan untuk memberi identiti diri kepada setiap penduduk negara ini.

4. Semenjak penubuhan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seramai 18 orang Ketua Pengarah telah menerajui jabatan ini dan bermula pada 26 hb Februari 1951, H.M Fletcher telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendaftaran Negara yang pertama.

5. JPN merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang mempunyai autoriti mengeluarkan MyKad berteknologi biometrik dan cip pertama di dunia kepada rakyat Malaysia di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

6. Nombor kad pengenalan yang digunakan adalah sangat unik, mengandungi 12 angka di mana 6 angka yang pertama merupakan tarikh kelahiran, diikuti kod negeri atau negara kelahiran dan empat angka yang terakhir merupakan nombor siri dan indikator jantina.

7. Sehingga kini, JPN berfungsi mendaftar, merekod, mengeluarkan dokumen pengenalan diri, menyimpan serta menyelenggara seluruh rekod rakyat Malaysia berjumlah 28.4 juta dari tahun 1948 hingga 31 hb Ogos 2013.

8. Berdasarkan rekod, nama yang paling popular dan banyak didaftarkan berjumlah 79,936 adalah atas nama 'Fatimah', sejumlah 29,126 (Aminah), sejumlah 15,151 (Ah Moi) dan 10,866 (Ravi).

9. Terdapat juga nama-nama yang diambil sempena peristiwa yang berlaku seperti nama 'Malaysia' bagi 149 individu dan nama 'Merdeka' iaitu seramai 78. Nama-nama tersebut didapati telah didaftarkan atas anak lelaki dan juga perempuan.

10. JPN telah mengadakan kerjasama bersama Lembaga Tabung Haji melalui sistem integrasi Pendaftaran Kematian JPN dengan Sistem Pendaftaran Jemaah di Pejabat Lembaga Tabung Haji di Mekah dan Madinah. Kerjasama ini bertujuan untuk merekod dan mendaftar kematian yang berlaku di Mekah dan Madinah secara 'online real time' ke Ibu Pejabat JPN. Kerjasama ini membolehkan JPN mengeluarkan sijil kematian dengan serta-merta untuk diserahkan kepada waris si mati di Malaysia.