Followers

Monday, July 21, 2014

Mengimbas Kenangan Ais Batu

ANAK-anak zaman sekarang tidak pernah tahu pun semua itu. Malah yang lahir 30 tahun ke belakang pun ramai yang tidak tahu. Tetapi inilah mahalnya kenangan mereka yang berusia 40 tahun ke atas, yang pernah hidup di kampung pedalaman, yang tubuhnya membesar dengan hasil masakan dapur kayu atau dapur arang.

Kami dahulu jangankan kata ada di rumah, nak tengok peti ais atau peti sejuk pun jarang-jarang. Hanya sesekali keluar ke pekan, nampaklah peti ais di penjuru kedai mamak di mana emak ayah ajak duduk minum ais sarbat. Teh ais pun pada zaman itu sudah dikira minuman mewah.

Tetapi itulah, terkenang semula semua kisah lama, boleh tersenyum sendiri, sekali gus melupakan sekejap perut yang galak berkeroncong pada bulan puasa ini. Terlalu indah.

Setiap kali tiba bulan puasa, seawal hari pertama, saya tak pernah tidak teringat semula kisah zaman budak-budak dahulu. Paling saya ingat ialah air batu yang dijual orang secara menjaja dari rumah ke rumah di serata pelusuk kampung.

Ais dibawa dalam tong yang diletak di pelantar basikal. Apabila ada orang nak membeli, tong diangkat turun dan ais buku yang disebut ais ketul pun diangkat keluar dari tong.

Masa itulah dapat dilihat di dalam tong di mana ais disimpan, penuh dengan habuk kayu ataupun sisa kayu yang diketam. Gunanya adalah untuk melambatkan proses pencairan ais  buku yang disimpan dalam tong itu.

Setelah itu, ais dari buku atau ketulan besar itu dipotong menggunakan, gergaji mengikut saiz yang diminta. Setelah harganya dibayar, ais dibungkus dalam kertas surat khabar untuk dibawa balik. Biasanya yang ditugaskan beli ais ketul ini ialah anak-anak sebab anak-anaklah yang paling ghairah nak minum ais sarbat atau sirap selasih pada waktu berbuka.

Waktu itu belum ada bazar Ramadan tetapi bulan puasa tetap meriah dengan orang berniaga. Setiap hari ada sahaja penjaja masuk kampung menjual benda-benda yang khusus untuk bulan puasa. Antara yang mahsyur ialah cendol dan cincau. Saya hanya tahu apa itu cincau setelah berhijrah ke Ibu Kota pada 1994.

Sebelum itu, saya tidak pernah tahu cincau tetapi saya cukup kenal 'lengkong'. Lengkong adalah nama lain bagi cincau di utara. Lengkong memang saya sangat suka sejak zaman kanak-kanak.

Pun seperti juga teh ais, ia termasuk dalam kategori 'mewah' bagi kami orang kampung. Lengkong lebih mewah daripada cendol kerana cendol boleh dibuat sendiri. Emak saya selalu bikin cendol di rumah. Tepung diletak dalam satu bekas yang berlubang dan kemudian ditekan keluar melalui lubang pada bekas itu. Jadilah ia bertali-tali.

Oleh kerana ais hanya dijual orang pada bulan puasa, maka cendol 'homemade' yang kami makan tidak berais. Tersangat mewah ais atau air batu pada masa itu. Kampung saya di Mahang, Kedah hanya masuk belakan elektrik pada 1980, semasa saya dalam darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Mahang. Sebelum itu, malam kami hanya berteman pelita minyak gas atau minyak tanah.

Peti ais tidak ada dalam kampung. TV pula hanya di beberapa rumah. Itupun guna kuasa bateri yang perlu dicaj beberapa hari sekali. Di mana rumah yang ada TV, di situlah tempat kami budak-budak melepak terutama pada malam Sabtu kerana ada tayangan gambar Melayu. Waktu itu belum ada TV warna.

Semuanya hitam putih, dan pengisiannya pun hampir kesemua cerita orang putih. Cerita orang putih, pelakonnya ada orang hitam. Jadi kena sangatlah dengan TV hitam putih pada zaman itu.    

Ketika itulah saya mengenal siri-siri penyiasatan Rockford Files, Starsky & Hutch, Chips, Quincy ME dan banyak lagi. Cerita perang sudah tentu Combat dan NAM Tour of Duty. Tidak kurang menarik Fantasy Island, Battle Star of Galactica, Six Million Dollar Man, Bionic Woman, Charlie's Angel, The Incredible Hulk dan lain-lain. Rancangan kekeluargaan Dallas, Eight Is Enough, The Waltons yang biasa disiarkan waktu maghrib... yang pengakhirannya setiap kali mesti ayat ini "Good night Jim Bob!"

Ketika itu juga saya selalu tertanya-tanya mengapa  The Sullivan yang teramat membosankan itu boleh ditayang bersiri sampai 200 lebih episod? Itulah. Bulan puasa, perut kosong, rupa-rupanya mudah membuatkan kita teringat kenangan lalu. Ketika lapar, kita selalunya akan lebih insaf, teringat asal usul, menilai hakikat diri dan juga perjalanan hidup yang semakin jauh.

Dan ini sudah tentu akan juga membuatkan kita sedar betapa garisan penamat bagi semua kisah perjalanan ini sudah semakin hampir.

Kenanglah juga mereka yang dahulu ada bersama kita, sekarang sudah tidak ada. Mereka yang dahulu sebahagian daripada diri kita, sudah pun meninggalkan kita untuk kita melangkah sendirian, membina mercu tanda kenangan yang suatu hari nanti, pun akan juga kita tinggalkan. Moga Ramadan kali ini berikan kita keinsafan yang berkekalan.

Muhammad Mat Yakim (Sinar Harian Julai 2014)

No comments:

Post a Comment