Followers

Sunday, October 6, 2013

20 Langkah Hidup Berjimat Cermat


Mahu cara mudah untuk menjimat wang anda? Berikut merupakan panduan yang boleh anda gunakan untuk kehidupan yang lebih berjimat-cermat. Ayuh, mulakan sekarang!

1. MEMASAK DI RUMAH
Jika sebelum ini anda lebih senang membeli makanan, mulakan tabiat memasak. Bukan sahaja menjimatkan tetapi anda menyediakan makanan yang tentunya lebih sihat dan bersih untuk keluarga.

2. BUAT KOPI ATAU TEH SENDIRI
Ramai yang gemar membeli minuman panas seperti kopi dah teh terutamanya di kedai-kedai mamak. Sekurang-kurangnya dua kali sehari. Tentunya tidak sukar anda membancuh sendiri. Anda dapat menghadkan pengambilan gula, berbanding memesannya di kedai.

3. ELAK MAKANAN TENGAH HARI DI KEDAI
Jika anda berdekatan dengan pejabat, pulang ke rumah untuk makan tengah hari tetapi jika jauh, bawa bekal dari rumah sahaja. Ini menghadkan anda mengeluarkan wang untuk membeli makanan.

4. SEDIAKAN SENARAI SEBELUM MEMBELI-BELAH
Tanpa senarai, anda akan membeli barangan yang sebenarnya tidak diperlukan. Oleh itu, ketika membeli-belah, pastikan anda mendapatkan barangan yang telah disenaraikan sahaja.

5. MEMBELI DI KEDAI RUNCIT BERBANDING PASAR RAYA BESAR
Anda disarankan untuk mendapatkan barangan di kedai runcit sahaja jika anda memerlukannya segera atau berbelanja dalam kuantiti yang kecil. Menjejakkan kaki ke pasar raya besar akan menjerat diri anda untuk berbelanja lebih banyak.

6. MEMBELI SECARA PUKAL
Apabila membeli barangan yang tidak mudah rosak seperti barangan keperluan peribadi, makanan dalam tin, pasta dan sebagainya, belilah secara pukal terutamanya pada hari potongan harga. Anda akan berjimat lebih banyak.

7. GUNA SEMULA PLASTIK
Jangan membazirkan wang untuk membeli plastik khas untuk mengisi sampah. Sebaliknya berjimatlah dengan menggunakan plastik yang diperoleh ketika berbelanja di pasar raya.

8. BAYAR BIL SECARA TEPAT
Bayar bil-bil anda tepat pada masanya. Sebaiknya pada hari pertama anda menerima gaji bagi mengelakkan bayaran lewat. Agar anda tidak terlupa, ada baiknya anda membuat bayaran secara automatik.

9. SELESAI HUTANG SEGERA
Jika anda berhutang, selesaikan jika berkemampuan. Ini dapat mengelakkan anda daripada membayar faedah. contoh terbaik ialah PTPTN yang menawarkan diskaun sehingga 20 peratus jika anda melangsaikan hutang. Untung bukan?

10. KAD KREDIT TANPA YURAN
Ada kalanya penggunaan kad kredit diperlukan tetapi anda harus bijak menggunakannya. Lebih baik jika anda mencari bank yang menawarkan kad kredit tanpa tidak mengenakan anda sebarang yuran tahunan.

11. TAMATKAN PERKHIDMATAN TELEFON TETAP
Tidak perlu lagi talian tetap jika semua ahli keluarga anda menggunakan telefon bimbit. Dengan ini anda akan menjimatkan yuran penggunaannya.

12. PINJAM DARIPADA PERPUSTAKAAN
Lebih baik anda meminjam buku atau novel daripada perpustakaan sahaja berbanding membelinya. Ini kerana kebiasaannya buku dibaca untuk sekali sahaja.

13. SEMAK HARGA
Jika anda ingin mendapatkan barangan yang melibatkan harga ratusan ringgit, tidak salah sekiranya anda membuat perbandingan harga. Sementara itu tahan sebentar nafsu anda sebelum membuat keputusan untuk membeli.

14. GUNAKAN KUPON DISKAUN
Semakin banyak pengendali perniagaan di internet yang menawarkan diskaun pada setiap pembelian. Hanya beli kupon secara atas talian dan anda akan dapat menikmati perkihidmatan atau barangan pada harga yang amat berbaloi.

15. GUNA BOTOL SENDIRI
Anda disarankan minum air lapan gelas sehari. Tidak perlu membazirkan wang anda untuk membeli air minuman di dalam botol. Sebaliknya masak air dan simpan di dalam botol yang boleh digunakan semula.

16. SELENGGARA KENDERAAN
Jangan lupa menyelenggara kenderaan anda. Periksa udara tayar dan servis kereta anda tepat pada masanya. Ini lebih baik berbanding wang yang dikeluarkan untuk tujuan pembaikan jika ia rosak. Biasanya kos akan berlipat ganda dan masa anda akan terbuang begitu sahaja di bengkel kereta.
17. MENAIKI KENDERAAN AWAM
Langkah paling baik untuk bergerak ialah menggunakan kenderaan awam. Ini menjimatkan anda daripada membayar minyak kenderaan, tol dan bayaran parkir. Pilihan lain ialah berkongsi kenderaan.

18. KAWAL PENGGUNAAN ELEKTRIK DAN AIR
Apabila tidak menggunakan perkakasan elektrik, cabut plag. Anda boleh sahaja memadamkan lampu ketika menonton televisyen atau mematikan kipas jika cuaca sejuk.

19. BERCUTI LUAR MUSIM
Tidak salah jika anda bercuti bersama keluarga ataupun rakan-rakan. Untuk mengurangkan kos, bercutilah ketika di luar musim persekolahan atau anda boleh sahaja tempah tambang penerbangan murah atau hotel bajet. Nikmati percutian tanpa memberi keutamaan untuk membeli-belah.

20. BERJENAMA KEPADA BERKUALITI
Jika anda penggemar barangan berjenama yang lazimnya dijual pada harga yang tinggi, tukar tabiat anda kepada mendapatkan barangan yang berkualiti tetapi menjimatkan.


No comments:

Post a Comment