Followers

Sunday, April 28, 2013

Pengaruh Muzik Rock Dan Muzik Muzik Di Era 90-an

Muzik Rock ataupun orang selalu panggil 'Rock Kapak' memang sinonim dengan Muzik Muzik (Anugerah Juara Lagu AJL). Muzik Muzik memang pentas rock kapak untuk menguasai arena muzik tanah air.Masa tu memang cukup hebat pengaruh rock kapak sehinggakan banyak lagu-lagu daripada Indonesia pun tak mampu masuk ke Malaysia. Amat sukar kita nak dengar lagu-lagu Indonesia atau Singapura di corong-corong radio tempatan. Memang rock kapak tak bagi can.Tapi sekarang dah lain situasinya...

Tahun-tahun penguasaan 'Rock Kapak' adalah diantara 1989 sehingga 1991. Di kala kita melihat kumpulan Search, Wings, May terus mengekalkan identiti rock, satu demi satu kumpulan rock berkubur dan kumpulan Fotograf, Gravity dan Exist bolehlah dianggap kumpulan rock terakhir yang berjaya menguasai industri muzik tanah air dengan kehebatan lagu 'Di Alam Fana Cintamu', 'Kesinambungan Cinta' dan 'Untukmu Ibu' pada tahun 1992. Kemudian muncul kumpulan rock hybrid seperti Slam dan Ukays yang berjaya mengenang kembali kegemilangan rock kapak suatu ketika dahulu. Tidak ketinggalan comeback yang berjaya daripada XPDC dan Febians yang muncul sebagai Amuk.

Ok... kita akan cerita sedikit penguasaan rock kapak antara 1989 hingga 1991 melalui Muzik Muzik TV3.

Muzik Muzik Akhir 1989

Fenomena Isabella! Walaupun memenangi juara bulan April, lagu ciptaan Search iaitu Isabella muncul sebagai pemenang utama Juara Lagu. Sehingga sekarang misteri pencipta lagu tersebut masih diperkatakan. Ada yang mengatakan lagu tersebut adalah ciptaan M.Nasir. Namun kerana tidak mahu lagu sebaik Isabella terlepas dalam persaingan AJL, lagu itu dikatakan ciptaan Search. Ini kerana peraturan pertandingan itu menjelaskan hanya lagu ciptaan komposer tempatan layak dipertandingkan. Pada tahun itu, M.Nasir masih warganegara Singapura dan bukannya Malaysia.
Namun, soal pencipta bukan persoalan utama kerana lagu itu sememangnya cukup malar segar dan diingati sebagai salah sebuah lagu terbaik Search hingga sekarang.

Antara lagu lain yang turut terpilih adalah :
Januari: "Taman Rasyidah Utama" Bob/Bob/Kumpulan Wings
Februari: "Sekali Aku Jatuh Cinta" Ismail Ahmad Nawab/Juwie/Nassier Wahab
Mac: "Misteri Mimpi Syakila" J.S Kevin/J.S Kevin/Kumpulan Wings
April: "Isabella" nyanyian Search/Bob/Search
Mei: "Kad Ucapanmu" A. Ali/Habsah Hassan/Norsheila Amin
Jun: "Resahku" A. Ali/Lukhman S/Rohana Jalil
Julai: "Sendiri" May/May/Kumpulan May
Ogos: "Janganlah Menghancurkan" Ahmad Nawab/Juwie/Shidee
September: "Cintaku Hanyut di Lautan Sepi" Ahmad Nawab/Juwie/Ramlah Ram
Oktober: "Segalanya Kuterima" Awang/Bob/Kumpulan Ilusi
November: "Bersama Suara Hati" Rahim Othman/Wan R.S/Kumpulan Gersang

Jika dinilai daripada gandingan komposer berpengalaman Ahmad Nawab dan penulis lirik, Juwie, rata-rata lagu yang dihasilkan mereka bergenre balada dan bertema cinta. Bermula 1986 hingga 1989, sudah banyak tahun Juwie menyertai AJL, namun tidak pernah sekalipun beliau memenangi kategori Lirik Terbaik.
Ramlah sekali lagi mempertaruhkan lagu ciptaan Ahmad Nawab dalam pertandingan tahun itu. Cukup sinonim dengan komposer tersebut setelah lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu meletup di AJL 1988 namun belum tentu menjanjikan sesuatu yang terbaik buatnya tahun tersebut.
Tahun 1989 juga menyaksikan persembahan-persembahan mantap dari kumpulan rock seperti Search dan Wings. Walaupun diwajibkan menyanyi secara live, vokalis kedua-dua kumpulan itu sungguh memukau. Tidak hairanlah mereka kekal dalam industri hiburan tempatan hingga kini,
Tahun itu juga menyaksikan kumpulan Search mengungguli kategori Persembahan Terbaik diikuti kumpulan Wings dengan lagu Taman Rashidah Utama dan Misteri Mimpi Syakila.
Lagu Isabella boleh dianggap sebagai menang besar apabila lagu tersebut muncul bergaya memenangi Juara Lagu, Persembahan Terbaik dan Lirik Terbaik buat pertama kali setelah empat tahun penganjuran AJL.
Selain fenomena Isabella, penggemar muzik tempatan diperkenalkan kepada Azwan Ali. Hos serba boleh yang digalas tanggungjawab untuk mengacarakan majlis tersebut bersama Charmaine Anne Augustin.

Search : Isabella

Muzik Muzik Akhir 1990

Pertama kali AJL disertai M.Nasir setelah mendapat taraf kerakyatan Malaysia. Bukan sekadar satu lagu tetapi tiga buah lagu. Selain lagu nyanyiannya Mustika, M.Nasir turut mempertaruhkan lagu Sejati dan Sentuhan Kecundang.
Namun malangnya, tahun itu bukan tahun untuk meraikan M.Nasir ke dalam industri hiburan tempatan sebaliknya milik Adam Ahmad yang menang menerusi lagu Janji Manismu.
Penyanyi Aishah, rakyat Malaysia yang mencipta nama di New Zealand diraikan pada tahun tersebut. Persembahannya yang dramatik dalam lagu Janji Manismu akan terus diingati hingga kini. Siapa yang boleh lupa Aishah mengusung beg dan kemudian melemparkannya semata-mata untuk menghidupkan lagu tersebut.
 Tahun ini juga memecah dominasi lagu balada dan rock apabila lagu berirama Nusantara seperti Mustika berjaya meloloskan dirinya ke peringkat akhir bersama lagu-lagu rock yang mula merobohkan penguasaan lagu bergenre balada. Lapan daripada sebelas lagu yang dipertandingkan adalah bergenre rock.
Muzik Malaysia nampaknya sudah beralih kepada genre rock sekitar tahun tersebut dan tidak salah jika dikatakan ianya merupakan pengaruh popularity kumpulan Search dan Wings yang baru menang tahun sebelumnya.
Jika tahun sebelumnya Search menang kategori Persembahan Terbaik, tahun ini milik Wings pula dengan lagu Sejati yang telah menewaskan persembahan dramatik Aishah. Tidak dipertikaikan kerana persembahan vokal Awie sangat memukau pada malam tersebut.
Walaupun rock dilihat sebagai kuasa baru dalam industri muzik tempatan, namun persembahan secara langsung mereka masih boleh dipertikaikan kualitinya. Beberapa kumpulan dilihat gagal menyampaikan lagu mereka dengan cemerlang.
Selain penyertaan M.Nasir dan kepulangan Aishah, industri muzik turut dengan tangan terbuka menerima artis luar negara dalam persaingan Juara Lagu. Endang S.Taurina merupakan satu-satunya artis luar negara yang berpeluang untuk menyertai AJL. Penyertaan itu dibenarkan dengan syarat lagu yang dinyanyikan masih merupakan ciptaan komposer tempatan.

Turut dipertandingkan adalah lagu berikut :

Januari: "Mustika" M. Nasir/M. Nasir/M. Nasir
Februari: "Sentuhan Kecundang" M. Nasir/M. Nasir/Kumpulan Ekamatra
Mac: "Pusara di Lebuhraya" Fauzi Marzuki/Bob/Kumpulan Ekamatra
April: "Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara" S. Amin Shahab/Kumpulan Mega
Mei: "Sejati" M. Nasir/M. Nasir/Kumpulan Wings
Jun: "Dari Sinar Mata" Awang/J.S Kevin/Kumpulan BPR
Julai: "Kembang Terhalang" Sani Sudin/Azida N.S/Kumpulan Gamma
Ogos: "Sangkar Emas" A. Ali/Lukhman S/Endang S. Taurina
September: "Suci Dalam Debu" Wan Zul/S. Amin Shahab/Kumpulan Iklim
Oktober: "Janji Manismu" Adam Ahmad/Wan Aishah/Aishah
November: "C.I.N.T.A." Z.N Kevin/J.S Kevin/Kumpulan XPDC

Sepanjang penganjuran AJL, kita telah melihat bagaimana selera muzik Malaysia berubah dari genre balada yang rata-ratanya didominasi penyanyi wanita kepada rock oleh kumpulan-kumpulan rock tempatan dan di penghujung tahun 80an mula diberikan teaser akan lagu berirama Nusantara oleh M.Nasir.
 Evolusi muzik ini sangat menarik untuk dianalisa kerana setakat ini hanya kumpulan Search yang berjaya memecahkan dominasi penyanyi wanita seperti Francesca Peter, Zaiton Sameon, Ramlah Ram dan Aishah.
Pengaruh lagu rock mula menular di kalangan penggemar muzik tempatan. Maka tidak hairanlah sekiranya pada tahun 1991 apabila lagu rock mendominasi AJL ketika itu.

Iklim : Suci Dalam Debu

Muzik Muzik Akhir 1991

Anugerah Juara Lagu 1991 berlangsung pada 29 Disember 1991 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Ini merupakan tahun terakhir di mana setiap lagu yang ke peringkat akhir adalah juara bulanan.
Jika diperhatikan, irama rock mendominasi pertandingan kali ini. Lapan kumpulan rock dan tiga penyanyi solo yang beraksi memperjuangan genre muzik yang sama. Mereka adalah juara bulanan yang dipilih penonton menerusi borang pencalonan yang disiarkan di akhbar harian tempatan.
 Lagu dendangan kumpulan Mega, Takdir dan Waktu telah dinobatkan sebagai juara. Tempat kedua dimenangi oleh Shima dengan lagu Setelah Aku Kau Miliki dan tempat ketiga pula menjadi milik lagu Tiara, nyanyian kumpulan Kris.
M.Nasir telah dipilih sebagai Penulis Lirik Terbaik menerusi lagu Tiara. Untuk Persembahan terbaik pula, ia dikongsi oleh tiga artis iaitu Shima, Damasutra dan Kris.
Tiada salahnya lagu rock mendominasi persaingan AJL tetapi agak canggung apabila beberapa penyanyi utama kumpulan rock telah dilihat gagal untuk menyampaikan lagu mereka dengan baik secara langsung. Lagu-lagu yang kedengaran enak menerusi kaset (ketika itu tiada CD lagi) menjadi rosak apabila dipersembahkan secara langsung. Pastinya masih ada yang ingat akan kesukaran Ajin, penyanyi utama kumpulan Blackrose menyampaikan lagu bernada tinggi, Penantian.
Ella pula menyampaikan lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah sambil duduk seperti meratap untuk lagu tersebut. Keunikan Ella membuat persembahan ketika itu menjadi tarikan utama malam tersebut. Kumpulan Damasutra yang mempersembahkan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi melakukan perubahan pada bahagian intro lagu mereka menjadikan lagu berdurasi 3 minit kepada hampir 7 minit.
AJL tahun itu menjadi pentas beradu kekuatan untuk digelar Ratu Rock Malaysia antara Ella dan Shima. Umum mengetahui berlakunya perdebatan antara peminat mengenai isu tersebut. Oleh itu, masing-masing mahu menunjukkan kehebatan persembahan mereka.

Ella sambil di iringi gitarist legenda, Hillary Ang

Berikut senarai penuh lagu yang bertanding:-

Januari: Antara Gadis - Kumpulan Dinamik
Februari: Patahnya Sayap Malam - Kumpulan Massa
Mac: Sepi Sekuntum Mawar Merah - Ella
April: Penantian - Kumpulan Blackrose
Mei : Memburu Rindu - Hattan
Jun : Gugurnya Bunga Cinta - Kumpulan Laksamana
Julai : Umpama Mimpi Dalam Mimpi - Kumpulan Damasutra
Ogos : Cinta Bandar Tasik Selatan- Kumpulan Olan
September : Tiara - Kumpulan Kris
Oktober : Setelah Aku Kau Miliki- Shima
November : Takdir Dan Waktu - Kumpulan Mega

Acara kemuncak pada malam itu dihoskan oleh Azwan Ali, Melissa Saila dan Intan Rozila. Pengacaraan mereka disampaikan dengan sebuah cerita yang menggunakan tajuk lagu yang dipertandingkan sebagai jalan cerita.
Tahun itu merupakan tahun terakhir AJL berlangsung tanpa kategori. Sebelum ia kembali dilakukan semula pada tahun 2009.


P/S : Ramai tak tau walaupun Search dan Wings dianggap otai Rock Kapak, tapi sejarah bermulanya kegemilangan rock kapak adalah melalui 'Battle Of The Bands' pada tahun 1983 yang pioneerkan oleh Febians dan Lefthanded.Sekarang tinggal jadi Malar Hijaula lagu-lagu ni. Gua teringat plak brader drummer BPR yang duduk kat blok D seksyen 1 dulu (gambar sebelah 3 daripada kiri).Kalau ada kugiran kenduri kahwin,
brader ni mesti kena jemput main drum. Hahaha...

2 comments:

  1. Saya pernah menghuni Blok D1 Seksyen 1 Wangsa Maju (rumah tepi tasik IWK) sekitar tahun 1997-1999 sebelum balik ke Penang. Masa tu saya masih belajar di UTM Jalan Semarak & kemudiannya Cosmopoint Lebuh Pudu seterusnya kerja cop tshirt di Taman Sri Rampai. Teringat saya setiap kali bulan puasa saya dan rakan serumah pasti akan dapatkan juadah ikan bakar untuk berbuka yang dimasak dan dijual oleh Enal (pemain drum BPR) di pasar Ramadhan Seksyen 1. Memang terbaek kalau ikan terubok bakar yang dia masak. Dah 13 tahun tak ke sana..... (selipar_putuih@yahoo.com)

    ReplyDelete
  2. Thanks and that i have a tremendous provide: Who Repairs House Foundations gutting a house

    ReplyDelete