Kisah ini diceritakan oleh seorang guru agama di sebuah negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.Encik Hisham (bukan nama sebenar) yang berumur 55 tahun, seorang kontraktor yang berjaya.Beliau telah berkenalan dengan Ustaz Ghazali (bukan nama sebenar) melalui seorang kenalannya.Mereka telah bertemu pada suatu hari dan Encik Hisham telah menyatakan hasratnya untuk menghantar 3 orang anaknya, dua lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur 22,20 dan 17 tahun untuk mendalami ilmu agama.
"Ustaz tolonglah ajar anak-anak saya ni.Saya sanggup bayar berapa sekalipun asalkan mereka dapat belajar agama.Saya tidak mahu mereka jadi seperti saya, tak lancar baca Al-Quran, solat pun kadang-kadang terlepas."
"Bagus tindakan tuan ini.Tetapi bukanlah duit yang saya cari.Kalau tuan sudah berhajat, dengan sukacitanya saya bantu." Ujar Ustaz Ghazali tersenyum.
"Ustaz jangan salah faham.Saya bukannya nak lepas tanggungjawab tetapi saya ni sibuk dengan urusan saya.tak banyak masa saya terluang dengan anak-anak saya." Balas Encik Hisham.
"Kalau tuan belajar sekali kan lagi bagus.Lagipun tidak ada had umur kalau kita nak belajar ni.Apatah lagi kalau berkaitan agama." Pelawaan Ustaz Ghazali kepadanya.
"Tak mengapalah ustaz, biarlah anak-anak saya saja yang belajar.Biarlah mereka yang mendoakan saya bila saya dah meninggal nanti..." Ujar Encik Hisham.
Ustaz Ghazali tidak dapat berkata-kata lagi.Pelawaan sudah diberi.Hari berganti hari, tahun berganti tahun.Maka belajarlah 3 adik beradik ini ilmu agama dengan Ustaz Ghazali dengan bersungguh-sungguh.Pada suatu hari, Encik Hisham telah membawa ketiga-tiga anaknya ke Brunei atas urusan perniagaan sambil makan angin.
Dengan takdir Allah SWT, ketika mereka sekeluarga menaiki kereta di sebuah jalan raya.Angin telah bertiup kencang dan menumbangkan sebatang pokok lantas tertimpa ke atas kereta keluarga ini di bahagian belakang.Malang tidak berbau, ketiga-tiga anaknya meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian walaupun Encik Hisham terselamat.
Berita ini telah sampai ke pengetahuan Ustaz Ghazali.Dengan berlinangan air mata, beliau teringat perbualannya dengan Encik Hisham ketika mula-mula berjumpa dahulu.Sesungguhnya perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya.
Moral yang dapat kita belajar : Tingkatkanlah amalan diri masing-masing kerana itulah yang akan dihisab oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.Jangan bergantung harap kepada anak-anak semata untuk mendoakan kita selepas kematian.Ini adalah tanggapan yang salah.Wallahua'lam bissawab...
Credit to Hajarul Aswad
No comments:
Post a Comment