Followers

Thursday, September 3, 2015

Tai Chi

TAI CHI

Berdasarkan sejarah, tai chi adalah sejenis seni mempertahankan diri yang diamalkan lebih 2,000 tahun dulu di China. Namun pergerakannya yang lembut dan kurang memberi tekanan pada kaki menjadi antara senaman yang boleh merehatkan badan dan minda.

Ada banyak jenis pergerakan tai chi, tetapi semuanya dilakukan secara perlahan dan lembut yang disertakan pernafasan dalam serta meditasi. Ada yang menggelar tai chi sebagai meditasi bergerak. Tai chi sesuai diamalkan semua peringkat umur dan tahap kesihatan, tetapi lebih popular di kalangan orang tua kerana pergerakannya lembut dan kurang tekanan.

Ramai menjadikan tai chi antara cara mengawal masalah kesihatan. Tai chi bukan bertujuan merawat masalah kesihatan, tetapi senaman ini jika diamalkan boleh membantu meningkatkan daya ketahanan, kekuatan badan dan ketenangan fikiran.

Walaupun tidak banyak penyelidikan klinikal dijalankan untuk mengetahui semua manfaat tai chi, beberapa kajian mengesahkan dakwaan kebanyakan pengamalnya melaporkan mereka berasa tahap kesihatan secara keseluruhan bertambah baik.

Sama seperti senaman lain, pergerakan tai chi merangsang badan untuk menghasilkan hormon endorfin yang membuatkan seseorang berasa ‘selesa dan gembira’. Ini yang dinamakan ketagih positif kerana ia mampu membantu pengamalnya lebih sihat, tenang dan bertenaga.

Seperti disebut di atas, tai chi adalah seni mempertahankan diri dan bukan senaman. Bagaimanapun, pergerakannya yang lembut dan perlahan membuatkan ia juga sesuai dijadikan senaman, terutama bagi orang tua dan individu yang tidak boleh melakukan senaman cergas.

Ramai tidak percaya bagaimana tai chi yang mempunyai pergerakan perlahan boleh dijadikan seni mempertahankan diri. Ramai tidak sedar, setiap pergerakan tai chi boleh dijadikan pergerakan untuk menahan dan menyelamatkan diri apabila diserang. Bagaimanapun, teknik ini perlu dipelajari dengan tekun dan sabar.

Untuk melakukan tai chi, anda perlu menumpukan fikiran dan mesti ada keharmonian antara fikiran, pergerakan serta anggota badan. Tai chi tidak memerlukan pakaian khas asalkan selesa. Ia boleh dilakukan di mana saja, sama ada di dalam atau luar bangunan, namun ada kelebihan jika bersenam di taman kerana dikelilingi banyak tenaga (daripada tumbuh-tumbuhan).

No comments:

Post a Comment