Followers

Showing posts with label Keagamaan. Show all posts
Showing posts with label Keagamaan. Show all posts

Friday, June 6, 2014

Bilal Haji Manan Dan Sejarah Bilal RA

Bilal Madrasah Assa'adah, Haji Manan sedang memberi peringatan kepada jemaah solat Jumaat, "Barangsiapa yang berkata-kata ketika Khatib sedang berkhutbah maka hilanglah pahala solat Jumaatnya."

Bilal pertama dalam sejarah Islam ialah Bilal Bin Rabah ra.Beliau digelar Muazzin al-Rasul kerana rapat dengan Rasulullah.Sebab itulah muazzin dipanggil 'Bilal' sebagai penghormatan kepada muazzin pertama umat Islam.Tahukah anda bahawa Bilal Bin Rabah tidak lagi melaungkan azan selepas kewafatan baginda Rasulullah kerana terlalu sedih? Selepas bertahun-tahun tidak melaungkan azan yang syahdu, akhirnya Bilal melaungkan azan di Madinah setelah dipujuk oleh cucu kesayangan Rasulullah, Saidina Hassan dan Hussin ra apabila semua sahabat baginda termasuk Saidina Abu Bakar dan Umar ra gagal memujuk beliau.Seluruh kota Madinah bergema dengan tangisan para sahabat baginda dan penduduknya kerana tersentuh jiwa mendengar laungan azan Bilal.Mereka terkenangkan susah senang mereka bersama Rasulullah menegakkan Islam di bumi Arab ini.

Friday, May 30, 2014

Imam Haji Abdul Hai

Imam Haji Abdul Hai selalu memberi ceramah ringkas menyentuh pelbagai permasalahan masyarakat Islam sebelum memulakan khutbah Jumaat.Maka datanglah awal ke Madrasah Assa'dah dan pilihlah saf yang depan berhampiran Imam.Beliau juga mengajar anak-anak kejiranan membaca Al-Quran di Blok D4 Seksyen 1.Doa beliau sungguh menginsafkan jemaah sehingga kadang-kadang mengalirkan air mata terutamanya selepas Solat Aidilfitri.Antaranya berbunyi, "Sedangkan panas di dunia pun kami tidak tahan, inikan pula panas api neraka Mu Ya Allah...".

Friday, May 23, 2014

Imam Haji Abdul Aziz

Dah dekat 30 tahun OWM mendengar khutbah dan taranum Imam Haji Abdul Aziz.Tenang sekali bacaannya ketika mengimamkan solat.Beliau berasal dari Perak, selalu tersenyum dan mudah di lihat 5 kali sehari berulang alik berjalan kaki ke Madrasah Assa'dah.Admin selalu teringat nasihat beliau sebelum memulakan solat, "Lurus dan rapatkan saf, berserah diri kepada Allah...".

Wednesday, December 25, 2013

Bila Hati Sudah Berkarat...


Formula besi jadi berkarat ialah Fe + H20 + 02= Fe203. Kalau besi berkarat boleh dikilatkan dengan autosol, kalau skru ketat berkarat boleh sembur dengan WD40, bagaimana hati boleh menjadi berkarat dan bagaimana nak mengilatkannya semula? 

Dosa yang dilakukan dan kelalaian dalam mengingati Allah akan menyebabkan hati menjadi berkarat. Hati yang rosak ini akan menyebabkan diri manusia itu semakin jauh dari Allah dan semakin tersesat dari jalan yang benar. 

Rasulullah bersabda: 
“Sesungguhnya hati-hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dirosakkan oleh air. Seorang sahabat telah bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati itu bersinar kembali?” Maka jawab Rasulullah, “Banyakkan mengingati maut dan membaca Al Quran.” Riwayat Baihaqi dari Ibn Umar. 

Rasulullah bersabda :
“Seseorang yang tiada mempunyai sebarang ayat(Al Quran) pun dalam hatinya adalah seumpama sebuah rumah yang kosong. ” Riwayat At Tirmizi. 

Dalam kitab Jami’ At Turmudzi disebut hadis dari Anas ia berkata:
“Sesungguhnya apabila Rasulullah merasa susah kerana sesuatu urusan maka baginda mengucapkan: Yaa hayyu yaa qoyyum, birahmatika astaghisu..” 

Ibn Abbas berkata Rasulullah bersabda:
“Barangsiapa membiasakan membaca istighfar, maka Allah akan menjadikan baginya keringanan dari kesusahannya dan jalan keluar dari kesulitannya serta diberiNya rezeki dari jalan yang tak terduga. ” Riwayat Abu Daud. Disebutkan juga bahawa Rasulullah segera mendirikan sembahyang apabila Baginda mengalami kesusahan. 

Rasulullah bersabda:
“Mahukah aku tunjukkan kepadamu hal-hal di mana Allah menghapuskan dosa-dosamu serta mengangkat darjatmu? Para sahabat menjawab: Baiklah ya Rasulullah: Sabda Rasulullah: Menyempurnakan wuduk, menghadapi segala kesusahan, memperbanyak langkah menuju ke masjid serta menantikan solat setelah solat; itulah perjuangan. Itulah perjuangan!


Monday, November 4, 2013

Maal Hijrah 2013 : Mencipta Kejayaan Dunia Dan Akhirat


Hidup yang kita jalani setiap hari menuntut pengorbanan yang melelahkan. Bahkan bagi sesetengah orang mereka terpaksa bermandi keringat bertungkus lumus membina kehidupan dan tidak kurang yang menitiskan airmata demi mendapatkan kebahagiaan yang diidamkan. Manusia hanya boleh berusaha, namun Allah SWT saja yang menentukannya.

Permasalahannya adalah jika kita kurang berusaha, cepat menyerah, berkeluh kesah dan akhirnya menyalahkan orang lain di atas kegagalan kita. Alangkah ruginya jika kebanyakan umat Islam masih memiliki mentaliti yang sedemikian. Pada awal tahun Hijriyah ini, sudah sepatutnya kaum Muslimin menilai kembali pencapaian mereka dan bijak menemukan kekurangan dan kelemahan yang menjejaskan kegemilangan diri, umat, bangsa dan negara. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhati apa yang ia telah sediakan untuk hari esok. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: Ayat 18)

Mencipta skrip kejayaan dunia akhirat
Sejarah hijrah yang agung sentiasa menyuntik semangat pada diri setiap orang beriman. Kejayaan Rasulullah SAW merancang perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah dengan tuntunan wahyu Allah jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepakaran berfikir dan bertindak dengan kebijaksanaan amat penting untuk menjayakan sesuatu perancangan. Pernahkah anda menuliskan tentang apa-apa pencapaian yang mesti diperolehi dan apa langkah-langkah untuk mewujudkannya? Bagaimana dengan kerja dan usaha yang dilakukan? Sudahkah dibuat dengan bersungguh-sungguh? Ingatlah perjalanan hijrah Rasulullah SAW yang penuh dengan penderitaan. Adakah kita melalui jalan yang sama? Jalan untuk mencapai kejayaan dunia akhirat. Prof. McClelland (1958), seorang pakar psikologi yang banyak mempelopori kajian ke atas psikologi kejayaan individu mendapati dalam kajiannya tentang ciri-ciri personaliti yang berjaya ialah:
i. Mereka yang melaksanakan tugas yang mencabar dengan penuh tanggungjawab.
ii. Mereka memiliki dorongan yang kuat untuk memajukan diri sendiri.
iii. Mereka amat mementingkan penilaian atas kerja-kerja yang dibuat untuk kemajuan yang lebih baik lagi.
Tiga ciri seperti di atas sangat elok untuk diterapkan dalam kehidupan peribadi Muslim. Ciri-ciri seperti inilah yang ada pada diri Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dan dalam peristiwa hijrah ternyata amat terserlah personaliti berkenaan.

Berterimakasih kepada kawan dan lawan demi kejayaan
Untuk mencapai cita-cita kita perlukan orang lain yang sudi membantu. Jika kelemahan kita dalam soal ibadat, maka kenapa kita tidak berbaik-baik dengan kawan yang alim lagi soleh? Jika kemalasan dan sikap tak bertanggungjawab ada pada diri kita, lebih elok jika berkawan dengan orang-orang yang berjaya dalam hidupnya. Itulah kebaikan bergaul dalam kehidupan sehari-hari. Jangan anda merasa hanya kawan yang baik saja yang boleh membantu kejayaan anda bahkan lawanpun sebenarnya memberi impak yang positif dalam menjana kejayaan itu. Beruntung jika anda mempunyai lawan, ia adalah cabaran bagi anda. Anda dapat khidmat darinya dengan ikhlas yang boleh dijadikan perunding dan penasihat tanpa bayaran. Jangan bersedih jika mempunyai lawan dalam kehidupan anda. Manfaatkan ia demi pencapaian yang lebih menguntungkan. Demikianlah teladan dari hikmah hijrah yang mana Rasulullah SAW sentiasa berfikir positif di tengah-tengah lawan yang ganas dan tanpa berputus asa sedikitpun dalam perjuangannya.

Bersyukur kepada Allah atas kejayaan dan cepat bangkit dari kejatuhan
Umat Islam yang hidup dihimpit oleh kuasa-kuasa besar dunia terpaksa bersaing untuk tidak tenggelam dalam arus kemajuan moden. Jika pada diri umat Muhammad bersemadi kekuatan, semangat keberanian dan kebijaksanaan yang diambil dari saripati buah hijrah yang ranum dan manis, ia boleh menjadi ubat mujarab bagi penyakit umat ini. Semangat itu seperti obor yang membakar diri Salahuddin Al-Ayyubi dan pengganti-pengganti beliau di bumi Palestin. Bagaimana dengan kita? Adakah kita menghargai hidup yang aman damai di bumi Malaysia ini dengan penuh kesyukuran? Apakah kerja-kerja yang sudah dibuat demi umat, bangsa dan negara untuk memastikan kejayaannya berkekalan? Kita amat lantang menyuarakan keamanan sejagat dan menolak peperangan. Namun kita hanya bisa berteriak dan menangis melihat anak-anak kecil di Iraq terkena radiasi senjata nuklear dan kaum wanita amat takut melahirkan anak-anak yang cacat. Sementara bumi Palestin masih lagi ditawan Yahudi laknatullah yang lantang menghina dengan kata-katanya bahawa ”Muhammad hanya mengirimkan pondan-pondan untuk bertempur”. Kita belum bisa unjuk gigi taring kepada kuasa besar dunia, keupayaan kita terlalu sedikit dan masih banyak yang perlu diusahakan dengan bermujahadah. Sahutlah cabaran hijrah dengan peranan masing-masing untuk kejayaan umat. Pada awal bulan Muharram ini sekali lagi kita ketuk pintu hati kita, perjuangan hijrah Nabi SAW harus diteruskan. Kitalah yang menjadi pejuang, aktor dan aktivisnya serta seharusnya umat Islam di Malaysia sedar bahawa kebangkitan Islam mesti dimulakan dari peribadi anda, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.


Sunday, October 13, 2013

Keistimewaan Kota Mekah Dan Kota Madinah (Tanah Haram)

MEKAH dan MADINAH adalah dua kota suci dalam Islam. Di dalam al-Quran dan hadis, dua kota itu sering disebut juga dengan Tanah Haram (Al-Balad Al-Haram). Kata haram bererti larangan atau tegahan.

Sebagai kawasan yang dimuliakan, tidak menghairankan jika Tanah Haram memiliki peraturan bagi orang-orang yang tinggal di dalamnya.

Salah satu peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah larangan bagi golongan bukan Islam memasuki Masjidilharam. Ia terkandung dalam firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 28 bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin, maka Allah akan memberikan kekayaan kepadamu dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Berikut dipaparkan antara keistimewaan kedua-dua kota suci tersebut:

KOTA MEKAH


TERDAPAT satu ruangan tanah di planet bumi yang diistimewakan Allah. Ia adalah sebidang tanah seluas lebih kurang 540 kilometer persegi. Inilah tanah tempat Allah pertama kali meletakkan bangunan rumah-Nya di bumi, yakni Kaabah. Itulah juga sebagai tempat tumpuan kiblat manusia sejagat.

Mekah di dalam al-Quran disebut berkali-kali dengan terminologi berbeza. Ini menunjukkan betapa kelebihan Mekah sangat banyak dibanding kota-kota lain di dunia ini.

Selain Mekah, di dalam al-Quran Allah menyebut kota suci ini sebagai Bakkah (lembah air mata), Ummul Qura (perkampungan tua), al-Balad (negeri), al-Balad al-Amin (negeri yang aman), al-Baddah (negeri), Haram Amin (tanah suci yang aman), Wad Ghairu Dzi Zar?in (lembah yang gersang) Ma'ad (tempat kembali), Qaryah (negeri/kampung), al-Masjid al-Haram dan lain-lain.

Dalam buku Sejarah Mekah Dulu dan Kini, tulisan Dr.Muhammad Abdul Gani, Maktab Al-Malik Fahd, edisi kedua, Madinah 2003, disebutkan, beberapa kelebihan Mekah iaitu :

* Tempat dibangunnya rumah Allah (Baitullah) pertama kali.

* Kota kelahiran Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman.

* Tempat pertemuan Adam dan Hawa yang mana setelah dikeluarkan dari syurga, mereka berdua hidup mengembara selama 200 tahun sehingga Allah mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah, Arafah.

* Tempat beribadah para hamba-Nya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya mengerjakan haji.

* Tempat yang tidak boleh seorangpun masuk ke dalamnya kecuali dengan kerendahan hati, khusyuk dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia.

* Tempat yang dijadikan Allah sebagai tanah suci yang aman, yang tidak boleh ada pertumpahan darah di sana.

* Tempat yang dimaksudkan untuk menghapus dosa-dosa masa lalu.

* Tempat yang Allah mensyariatkan kepada manusia untuk bertawaf di Kaabah.

* Tempat yang Allah mewajibkan bagi orang-orang yang mampu untuk mengunjunginya.

* Tempat yang tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hamba-hamba-Nya untuk menghadap dan melambaikan tangan, kecuali kepada Kaabah, Hajarul Aswad, Rukun Yamani yang adanya di kota Makkah.

* Tempat yang tidak ada di muka bumi ini suatu masjid pun, yang memiliki keistimewaan bagi siapa saja yang solat di dalamnya maka pahalanya akan dilipatgandakan 100,000 kali.

* Tempat yang dilarang oleh Allah untuk menghadap atau membelakanginya pada waktu buang hajat.

* Tempat yang Allah memberikan balasan bagi siapa saja yang berniat jahat, walaupun belum melakukannya. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya akan dilipatgandakan. Ia kerana melakukan kejahatan di tanah suci, lebih besar dosanya dibandingkan di tempat-tempat lain.

* Tempat-tempat yang mustajab bagi orang-orang yang berdoa di sana, misalnya di Hajar Aswad, di Rukun Yamani, di makam Ibrahim, di Hijir Ismail, di telaga Zamzam, di Arafah saat berwukuf dan lain-lain.

* Tempat di mana Allah pernah bersumpah atas nama negeri Mekah seperti dituturkan-Nya dalam surah At-Tiin, kalau tidak kerana istimewanya Mekah, Allah tentu tidak perlu mengangkat sumpah atas nama negeri yang sarat dengan sejarah itu;

* Tempat yang sentiasa dijaga para malaikat.

* Tempat adanya telaga zam-zam yang luar biasa.

MADINAH


SATU-SATUNYA tanah yang Rasulullah SAW sahkan boleh digunakan untuk mengubat penyakit dengan izin Allah SWT ialah tanah di kawasan tanah haram Madinah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda;

"Dengan nama Allah, debu tanah kita (yang dicampur) dengan air liur setengah daripada kita menyembuhkan dari penyakit kita dengan izin Allah."

Dalam soal keistimewaan meninggal dunia di Madinah, Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah hendaklah dia meninggal dunia di sana, kerana aku akan memberi syafaat bagi pihak setiap orang yang meninggal dunia di situ." (Riwayat Al-Tirmizi)

Madinah merupakan salah satu dari dua kota suci Islam yang dikawal para malaikat sepanjang masa. Kawalan yang dibuat itu ialah bagi menghindari penyakit taun dan serangan Dajjal. Seperti yang kita tahu bahawa di akhir zaman kelak, Dajjal akan muncul di setiap kota dan desa. Namun begitu Madinah dan Mekah tidak dapat dimasuki Dajjal kerana ia dikawal oleh para makaikat yang diutus Allah SWT. bagi tujuan tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut Rasulullah SAW bersabda bahawa Dajjal akan muncul di setiap kota melainkan Madinah dan Makkah. Dia tidak dapat masuk kerana malaikat akan melindungi kedua-dua kota itu.


Friday, October 4, 2013

Apabila Pergantungan Amalan Sudah Tiada (Kisah Benar)



Kisah ini diceritakan oleh seorang guru agama di sebuah negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.Encik Hisham (bukan nama sebenar) yang berumur 55 tahun, seorang kontraktor yang berjaya.Beliau telah berkenalan dengan Ustaz Ghazali (bukan nama sebenar) melalui seorang kenalannya.Mereka telah bertemu pada suatu hari dan Encik Hisham telah menyatakan hasratnya untuk menghantar 3 orang anaknya, dua lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur 22,20 dan 17 tahun untuk mendalami ilmu agama.

"Ustaz tolonglah ajar anak-anak saya ni.Saya sanggup bayar berapa sekalipun asalkan mereka dapat belajar agama.Saya tidak mahu mereka jadi seperti saya, tak lancar baca Al-Quran, solat pun kadang-kadang terlepas."

"Bagus tindakan tuan ini.Tetapi bukanlah duit yang saya cari.Kalau tuan sudah berhajat, dengan sukacitanya saya bantu." Ujar Ustaz Ghazali tersenyum.

"Ustaz jangan salah faham.Saya bukannya nak lepas tanggungjawab tetapi saya ni sibuk dengan urusan saya.tak banyak masa saya terluang dengan anak-anak saya." Balas Encik Hisham.

"Kalau tuan belajar sekali kan lagi bagus.Lagipun tidak ada had umur kalau kita nak belajar ni.Apatah lagi kalau berkaitan agama." Pelawaan Ustaz Ghazali kepadanya.

"Tak mengapalah ustaz, biarlah anak-anak saya saja yang belajar.Biarlah mereka yang mendoakan saya bila saya dah meninggal nanti..." Ujar Encik Hisham.

Ustaz Ghazali tidak dapat berkata-kata lagi.Pelawaan sudah diberi.Hari berganti hari, tahun berganti tahun.Maka belajarlah 3 adik beradik ini ilmu agama dengan Ustaz Ghazali dengan bersungguh-sungguh.Pada suatu hari, Encik Hisham telah membawa ketiga-tiga anaknya ke Brunei atas urusan perniagaan sambil makan angin.

Dengan takdir Allah SWT, ketika mereka sekeluarga menaiki kereta di sebuah jalan raya.Angin telah bertiup kencang dan menumbangkan sebatang pokok lantas tertimpa ke atas kereta keluarga ini di bahagian belakang.Malang tidak berbau, ketiga-tiga anaknya meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian walaupun Encik Hisham terselamat.

Berita ini telah sampai ke pengetahuan Ustaz Ghazali.Dengan berlinangan air mata, beliau teringat perbualannya dengan Encik Hisham ketika mula-mula berjumpa dahulu.Sesungguhnya perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya.

Moral yang dapat kita belajar : Tingkatkanlah amalan diri masing-masing kerana itulah yang akan dihisab oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.Jangan bergantung harap kepada anak-anak semata untuk mendoakan kita selepas kematian.Ini adalah tanggapan yang salah.Wallahua'lam bissawab...

Credit to Hajarul Aswad


Friday, September 27, 2013

Susahnya Menjadi Wanita Muslim!


Ada sesetengah orang di kalangan kaum wanita berkata... “Susahnya menjadi wanita MUSLIM..!” 

Lihat saja peraturan dibawah ini :

1. Wanita auratnya lebih susah dijaga berbanding lelaki.
2. Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mau keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.

3. Wanita saksinya kurang dibanding lelaki.
4. Wanita menerima pusaka atau warisan kurang dari lelaki.
5. Wanita harus menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.
6. Wanita wajib taat kepada suaminya tetapi suami tak perlu taat pada isterinya.
7. Talak ada di tangan suami dan bukan isteri.
8. Wanita kurang beribadah kerana masalah haid dan nifas yang tidak dialami lelaki.

PERNAHKAH KITA BERFIKIR SEBALIKNYA…??

Aurat serta perhiasan wanita adalah suatu yang sangat mahal dan berharga.Makanya, benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiarkan berselerak bukan?

Satu:
Wanita perlu taat kepada suami, tetapi lelaki pun wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama dari ayahnya. Bukankah ibu adalah seorang wanita?

Dua:
Wanita menerima pusaka atau warisan kurang dari lelaki tetapi harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya. Manakala lelaki menerima pusaka atau warisan, ia akan menggunakan hartanya untuk isteri dan anak-anaknya.

Tiga:
Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi setiap saat dia didoakan oleh segala makhluk, malaikat, dan seluruh makhluk Allah di muka bumi ini, dan matinya jika saat melahirkan adalah syahid.

Empat:
Di akhirat kelak, seorang lelaki akan mempertanggungjawabkan 4 wanita ini: Isterinya, ibunya, anak perempuannya, dan saudara perempuannya.

Lima:
Seorang wanita pula, tanggung jawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki ini: Suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

Enam:
Seorang wanita boleh memasuki pintu syurga melalui pintu manapun yang disukainya cukup dengan 4 syarat saja : Solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat pada suaminya dan menjaga kehormatannya.

Tujuh:
Seorang lelaki perlu pergi berjihad Fisabilillah tetapi wanita jika taat pada suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH, ia akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang Fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.



Friday, September 20, 2013

Rahsia Nak Panjang Umur


Antara amalan yang boleh membuatkan Allah membuka pintu rezeki kita seluas-luasnya ialah berbuat baik dan mendoakan kepada ibubapa.Jika ibubapa sudah tiada, maka hendaklah kita berbuat baik kepada adik beradik ibubapa (pakcik dan makcik kita).

Ini telah disebut di dalam beberapa buah hadith Rasulullah S.A.W:


Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.”
(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

P/S : Adakah kita sertakan doa untuk ibu bapa kita setiap hari dalam doa kita selepas solat? Share it...


Thursday, September 19, 2013

Pernah Kena Tindih Masa Nak Tidur?


Untuk pengatahuan anda, ditindih ketika tidur merupakan satu fenomena dimana badan kita terasa seperti ditindih atau lumpuh ketika tidur dan dipercayai berkaitan dengan perkara mistik. Penulis percaya, tak ramai daripada anda yang akan percaya dengan apa yang akan diceritakan nanti, hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang akan faham kebenaran entri ini.

Satu soalan yang selalu dikemukakan kepada saya ialah: “Betul ke bang kalau waktu tidur, kita ditindih dan itu ialah satu jenis gangguan makhluk halus? Atau pun ianya sekadar mainan tidur dan masalah fisiologi dan psikologi sahaja? Kalau benar ianya gangguan makhluk halus, bagaimana kita hendak membezakannya?”

Ini ialah satu persoalan yang mudah penjelasannya. Sejak dahulukala lagi masyarakat Asia telah dimomokkan dengan mitos dan ketahyulan mengenai subjek ini : tiada kaedah dan penjelasan yang jelas. Tidak terkecuali juga perawat perawat tradisional yang tua dan muda, pernah saya tengok tergagap gagap nak menjawab soalan mudah seperti ini.

Didalam istilah sains, dihimpit atau ditindih ketika tidur ini digelar sebagai ‘Sleep Paralysis’.. Sleep paralysis nih terjadi akibat tidur kita terlalu lena dimana semua organ badan kita berehat kecuali otak (medulla oblongata), jantung dan paru-paru sahaja.. Ketika kita sedang syok tidur tuh tiba-tiba otak kita teraktif sedikit maka, secara automatiknya kita akan sedikit tersedar ketika masih didalam fasa tidur dimana keadaan anggota badan kita ketika itu masih lagi didalam keadaan rehat (tidur).. Jadi akibat dari itu, kita akan merasakan badan kita seolah-olah lumpuh dan langsung tidak boleh bergerak serta sedikit lemas, ape lagi.. panik terus la kan?

Akan tetapi sehingga ke hari ini, saintis masih lagi tidak dapat mengkaji bagaimana mimpi ngeri itu boleh wujud disaat kita kena tindih tu misterikan?

Percayalah pada saat itu kita sebenarnya masih belum tersedar sepenuhnya, tetapi hanya separa sedar sahaja.. sebab itulah kita akan terasa sangat-sangat mengantuk dan juga mamai giler semasa kena tindih tuh.. apabila kita cuba untuk meronta-ronta, kita akan merasakan bahawa badan kita seolah-olah bergerak sikit-sikit tetapi hakikatnya badan kita sedikit pun tidak bergerak

Satu lagi, kita juga tidak akan ditindih apabila kita tidur didalam keadaan duduk, memang sangat-sangat misteri! Akan tetapi, kita sebagai umat islam memang tak salah untuk percaya bahawa itu adalah gangguan syaitan. Rasullullah saw pun pernah menyebut tentang perkara ini kalau nak lebih detail lagi sebaiknya rujuk kepada pakar agama.


Cara Mengelakkan Daripada Ditindih Ketika Tidur (Untuk Orang Islam)

Untuk pengatahuan anda, syaitan bukan sahaja mempengaruhi hati manusia tetapi juga mimpi yang dialami oleh manusia. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan:

الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنْ اللَّهِ وَالْحُلُمُ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ
فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Mimpi yang baik adalah dari Allah manakala mimpi yang buruk adalah dari syaitan. Maka apabila seseorang kalian mengalami mimpi buruk yang menakutkannya, hendaklah dia meludah ke arah kirinya dan minta perlindungan daripada Allah dari keburukannya kerana setelah itu ia (mimpi tersebut) tidak akan mengakibatkan apa-apa kemudaratan.

Rasulullah s.a.w. mengajar kita agar berlindung kepada Allah apabila didatangi mimpi-mimpi yang menakutkan, dengan menyebut a’uzubillah, ayat Tiga Qul dan sebagainya, kemudian meludah ke bahagian kiri dengan tiga kali ludah, yang ringan (anda jangan ludah betul-betul pulak ok! sekadar memadai dengan isyarat hembusan semata-mata, dengan tanpa mengeluarkan sedikit pun air liur basi dari mulut anda), kemudian cuba beralih tempat tidur iaitu dengan mengubah posisi tidur. Daripada mengiring kiri, ubah mengiring kanan atau pindah ke tempat lain.

Rasulullah juga mengajar kita agar mengibaskan tempat tidur sebanyak tiga kali dengan kain sebelum baring. Rasulullah pada setiap malam ketika berada di tempat pembaringan, merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya kemudian meniup kedua-duanya dan membaca surah Tiga Qul, kemudian menyapu badannya dengan kedua-dua tapak tangan, yang dimulakan daripada kepala, muka dan seluruh tubuh yang tercapai oleh kedua-dua tapak tangannya sebanyak tiga kali.

Yang dimaksudkan dengan Tiga Qul di sini ialah surah an-Nas, al-Falaq dan surah al-Ikhlas. Serahlah diri kepada Allah. Terlalu banyak doa yang boleh dibaca yang berkaitan dengannya di antaranya ialah doa yang bermaksud, Ya Allah, dengan menyebut nama-Mu, ya Tuhanku kuletakkan lambungku, maka ampunilah dosaku.

Setelah itu barulah membaca ayat al-Kursi dengan lidah. Baca ayat al-Kursi dalam hati apabila lidah mula tidak berupaya menyebutnya sehingga tertidur. Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa orang yang membaca ayat al-Kursi ketika berada di tempat pembaringan, Allah akan mengutus dua malaikat menjaganya sehingga subuh.

Perbanyakkan istighfar ketika di tempat pembaringan. Allah mengampuni dosa-dosa mereka yang beristighfar tiga kali ketika berada di tempat pembaringan biarpun dosanya sebanyak buih di laut, sebanyak bintang di langit ataupun sebanyak pasir di pesisiran pantai. Akhir sekali jangan lupa membaca Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar).

Banyak kaedah yang merangkumi zikir-zikir dan kaifiat tertentu yang diajar oleh Rasulullah dalam usaha mengatasi masalah tidur. Kaedah ini berbeza-beza, menurut tahap-tahap serius gangguan yang dialami.


Friday, September 13, 2013

Masa Begitu Pantas Meninggalkan Kita



Pernah tak korang rasa masa berjalan dengan pantas? Contohnya macam korang tengah bergayut dengan kekasih korang. Korang rase bergayut sekejap je. Tapi bila sedar-sedar, dah 5 jam korang bergayut. Macam mana pula masa boleh berjalan tanpa kita sedar?

Macam tu la juga bila korang dok main Facebook. Liking-liking. Tagging-tagging. Poking-poking. Sedar-sedar dah tengah malam. Padahal esok dah nak kerja. Dan, pernah tak korang terfikir kenapa kita tak sedar dengan masa yang berlalu?

Daripada Anas bin Malik r.a berkata: Rasulullah s.aw. bersabda: "Tidak akan menjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti percikan api." H.R Tirmizi.

Menurut Imam al-Karmani, apa yang dimaksudkan dengan singkatnya masa itu ialah dicabut keberkatan daripadanya.Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Imam al-Karmani itu, dahulu, dalam sehari banyak perkara yang kita dapat laksanakan. Tapi sekarang,hanya sedikit perkara yang kita dapat laksanakan.Inilah satu petanda bahawa hari kiamat hampir tiba.

So, merujuk dalam hadis di atas, kiamat akan muncul bila ramai orang yang lalai sampai hilang keberkatan waktu dan itu akan menyebabkan masa berjalan dengan amat pantas sehinggakan sejam bagaikan sekelip mata atau seperti pantasnya satu percikan api.

"Semakin kita membesar, semakin laju masa berjalan"

Memang nampak pelik. Tapi kalau korang ingat balik kenangan-kenangan korang masa kecil dulu, korang akan perasan yang even apa pun yang korang buat, korang akan rasa masa berjalan dengan amat perlahan. Tapi sejak korang start masuk ke sekolah menengah, masa dah start laju. Semakin meningkat usia, semakin cepat masa tu bergerak. Kenapa? Adakah disebabkan oleh kejahatan yang kita lakukan?

Ataupun, masa berjalan dengan pantas hanya sebab kita seronok buat benda yang melalaikan sampai terleka dan masa berjalan dengan perlahan bila kita buat perkara baik sebab ianya membosankan? Cuba renung balik maksud surah Al-Asr...




Wednesday, August 7, 2013

10 Amalan Sunat Berkaitan Aidilfitri

Menjelang kemeriahan Syawal, marilah kita berkongsi sedikit ilmu berkenaan 10 amalan sunat berkaitan Aidilfitri yang diamalkan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w sebagai sunnah Baginda dan para sahabatnya. Semoga sedikit maklumat ini menjadi pendorong kepada kita semua untuk memaknakan Aidilfitri dari sambutan adat kepada menjadi sebuah ibadah yang di situ terdapat keredhaan Allah. Jom ikuti apakah yang terdapat di dalam sebuah risalah yang terselit semasa membaca blog mata hati mekar untuk saya kongsikan buat tatapan kita bersama-sama.


1. Bertakbir
Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan juga untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri.

2. Lafaz ucapan selamat 
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘selamat hari raya, maaf zahir batin’. Namun diceritakan Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.a yang dinukilkan daripada Jubair Nufair r.a katanya :- ” Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari Aidilfitri, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain “Taqabbalullah minna waminka”(semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu [waminka boleh ditukar kepada waminkum untuk diucapkan kepada orang ramai] ).”

3. Meneruskan Qiamullail
Jika sepanjang Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah contohnya melalui solat Tarawih, maka ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat Tahajjud.

4. Mandi sunat pagi hari raya
Disunatkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri
Disunatkan kaum Muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Kebiasaannya Rasullullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja selagi halal dan baik.


6. Memakai pakaian yang indah
Disunatkan kamu Muslimin memilih pakaian yang terbaik serta indah-indah mengikut kemampuan masing-masing untuk menuju tempat solat. Disunatkan juga kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita.

7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya
Berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Disunatkan juga mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Ada pendapat menyatakan ia dilakukan agar dapat bersalam dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Selain itu, orang yang berjalan ke masjid, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat.

8. Mengerjakan solat Aidilfitri
Syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam.



9. Bergembira pada Hari Raya Aidilfitri
Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t, makan tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah , seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarahi sesama umat Islam.




10. Puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun. Cara paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal. Namun seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal samada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.


~ Selamat Hari Raya Aidilfitri ~
29 Ramadhan 1434 H
Credit to jalanakhirat.wordpress.com


Friday, August 2, 2013

Fadhilat Qiamullail Dan Solat Sunat Tasbih


Fadhilat dan kisah berkaitan Qiamullail 

Daripada Abu Hurairah r.a : Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang suatu amalan yang membolehkan aku masuk Syurga lalu Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sebarkanlah salam, jamukanlah makan, dirikanlah solat sedangkan manusia lain sedang tidur nescaya engkau akan masuk syurga dengan selamat – Dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Ibnu Habban dengan sanad sohih

Daripada Abdullah Ibnu Umar katanya bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Wahai Abdullah Ibnu Umar! Janganlah engkau menjadi seperti si Fulan di mana dia bangun pada waktu malam tetapi dia tidak melakukan ibadat qiamullail – Dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad  dengan sanad sohih

Ketika orang sudah lelap dalam tidurnya, Ibnu Mas’ud justeru mulai bangun untuk solat tahajjud, sehingga terdengar seperti suara dengungan lebah, sampai menjelang fajar menyingsing. Ditanyakan kepada Hasan al-Bashri, “Mengapa orang-orang yang suka bertahajjud itu wajahnya paling bercahaya di antara yang lain?” Ia menjawab, “Kerana mereka suka berduaan bersama Allah Yang Maha Rahman; maka Allah menyelimuti mereka dengan cahayaNya.”

Hasan al-Bashri juga pernah berkata, bahawa sesungguhnya orang yang telah melakukan dosa, akan terhalang dari Qiamullail. Ada seorang bertanya kepada orang soleh: “Saya tidak dapat bangun untuk Qiyamullail, maka beritahukanlah apa yang harus saya lakukan?” Orang soleh itu berkata: “Jangan engkau bermaksiat kepadaNya pada waktu siang, nescaya Dia akan membangunkanmu untuk beribadah kepadaNya, diwaktu malam.” Di dalam suatu riwayat, Sufyan ats-Tsauri mengatakan: “Aku terhalang untuk melakukan Qiyamullail selama lima bulan, akibat dari satu dosa yang aku lakukan.”


Ibnu Mubarrak berkata dalam bait syairnya:

Saat malam tiba berselimut gelita
Kala manusia lain lelap dalam tidurnya
Mereka lawan beratnya malam dengan ibadat
Untuk merebak cahaya Yang Kuasa
Rasa takut kepadaNya menerbangkan mengantuk mereka
Sedang orang yang merasa aman dari murkaNya
Terbuai dalam mimpi-mimpinya...

Abu Sulaiman berkata: “Malam hari bagi orang yang setia beribadat di dalamnya, itu lebih nikmat daripada permainan bagi mereka yang suka hidup bermain-main. Seandainya tanpa malam aku tak suka tinggal di dunia ini.”

Ibnu Munkadir berkata: “Bagiku, kelazatan dunia ini hanya ada pada tiga perkara, Qiyamullail, bersilaturrahim dengan ikhwan dan solah berjemaah.”

Allah bermegah dengan hamba-hambaNya yang bangun ditengah malam. hadith Qudsi meriwayatkan : mereka yang bangun ditengah malam mengerjakan solat, disediakan syurga buat mereka.

Solat Sunat Tasbih

Solat Sunat Tasbih merupakan solat sunat yang terdapat sebanyak 300 tasbih. Solat Sunat Tasbih dianjurkan supaya dikerjakan sekurang-kurang sekali seumur hidup. Solat sunat tasbih ada empat rakaat, dengan ketentuan jika dikerjakan pada siang hari cukup dengan satu salam, dan jika dikerjakan pada malam hari dengan dua salam.

Rasulullah s.a.w bersabda:  “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali .“  ( HR. Abu Daud dan Ibnu Majah )




Cara mengerjakan solat tasbih ialah dengan membaca tasbih 15 kali sesudah membaca surat Al-Fatihah, 10 kali tasbih ketika rukuk, 10 tasbih ketika iktidal, 10 tasbih ketika sujud pertama, 10 tasbih ketika duduk antara dua sujud, 10 tasbih ketika sujud kedua, dan 10 tasbih ketika duduk rehat sebelum bangun berdiri / memberi salam. Ulangi 75 tasbih ini untuk empat rakaat.

Bacaan tasbih :




Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, dan tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar;   Dan tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
Nota;
*Buat permulaan sekiranya berasa berat, bacalah tasbih di atas pada barisan pertama sahaja.

Hadith mengenai Solat sunat tasbih dianggap sahih oleh Imam al-Hakim, Ibn Abu Dawood, Ibn Hajar dan yang lain. Imam al-Albani turut mengelaskannya sebagai boleh dipercayai.


Wednesday, July 31, 2013

Lailatul Qadar Dan Tanda-Tandanya


Bagi kaum muslim, Lailatul Qadar adalah satu malam yang penting dan diyakini terjadi pada bulan Ramadan. Dalam Al-Quran juga menyebut malam ini sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Malam Lailatul Qadar, malam pertama kitab suci Al-Quran diturunkan sebagai pedoman hidup umat manusia. Oleh kerana itu, malam Lailatul Qadar merupakan malam yang dicari-cari oleh umat Islam yang beriman.

Syaikh Salim Bin Ied Al Hilaly dan Syaikh Ali Bin Hasan Bin Ali Bin Abdul Hamid dalam laman Suara Al Qur'an menyebutkan, Rasulullah SAW meriwayatkan bahwa malam Lailatul Qadar terjadi pada malam antara tanggal 21, 23, 25, 27, 29 dan akhir malam bulan Ramadan.

Pendapat-pendapat yang ada berbeza-beza. Imam Al Iraqi dalam risalahnya 'Syarh Shadr bidzkri Lailatul Qadar, membawakan perkataan para ulama; Imam Syafi'i berkata, "Menurut pemahamanku, wallahu a'lam, Nabi Muhammad SAW menjawab sesuai yang ditanyakan, ketika ditanyakan kepada Baginda, "Apakah kami mencarinya di malam hari?", beliau menjawab, "Carilah di malam tersebut." (Sebagaimana ditulis oleh Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah 6/388).

Terjadinya malam Lailatul Qadar itu pada malam terakhir bulan Ramadan, berdasarkan hadis Aisyah RA, dia berkata : Rasulullah SAW beriktikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan dan Baginda bersabda, (yang ertinya) "Carilah malam Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan."

Bagi seseorang yang fizikalnya lemah atau kurang mampu, janganlah sampai melepaskan tujuh hari terakhir, kerana riwayat Ibnu Umar (dia berkata) : Rasulullah SAW bersabda (yang ertinya),
"Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka jangan sampai terluput tujuh hari sisanya." (HR Bukhari 4/221 dan Muslim 1165).

Ada beberapa tanda datangnya malam mulia dan penuh berkah itu, sebagaimana yang di kemukakan Rasulullah SAW, di antaranya :

1. Udara dan suasana pagi yang tenang. Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda : "Lailatul Qadar adalah malam tenteram dan tenang, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu dingin, esok paginya matahari terbit dengan sinar lemah berwarna merah."

2. Esok harinya cahaya matahari agak meredup, bersinar cerah tapi tidak kuat. Ubay bin Ka'ab radliyallahu'anhu berkata bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda : "Keesokan hari malam Lailatul Qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar yang kuat."

3. Bulan nampak separuh bulatan. Abu Hurairah RA pernah berkata bahwa mereka pernah berdiskusi tentang Lailatul Qadar disamping Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda; "Siapakah dari kalian yang masih ingat tatkala bulan muncul, yang berukuran separuh bulatan."

4. Sewaktu malam tampak terang, tidak dingin, tidak berawan, tidak hujan, tidak panas, tidak ada angin kencang, dan tidak ada aktiviti meteor yang jatuh di angkasa. Rasulullah SAW bersabda: "Lailatul Qadar adalah malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi syaitan)" (HR. at-Thobroni dalam al-Mu'jam al-Kabir 22/59 dengan Sanad Hasan), sebagaimana hadis dari Watsilah bin al-Asqo'.

5. Terbawa ke dalam mimpi. Beberapa sahabat Rasulullah SAW mengalami mimpi berjumpa dengan malam Lailatul Qadar.

6. Orang yang beribadah pada malam tersebut merasakan lazatnya ibadah, ketenangan hati dan kenikmatan bermunajat kepada Allah, tidak seperti malam-malam lainnya.



Wallahua'lam bissawab...

Monday, July 29, 2013

Berbekamlah Walau Sekali Seumur Hidup!


Berbekam adalah Sunnah Nabi. Jika sesuatu yang dilakukan oleh Nabi sudah pasti mempunyai kebaikannya.

Diriwayatkan dalam Shohih Bukhari, Said bin Jubair berkata dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Kesembuhan dapat diperoleh dengan tiga cara. Pertama minum madu. Kedua, dengan pembekaman. Ketiga, dengan besi panas, dan aku tidak menganjurkan ummatku melakukan pengubatan dengan besi panas” (Shih Bukhari)
Hadith Kedua: 
Dari Jabir Bin Abdillah ra ia berkata, saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda: 
“Jika ada yang terbaik pada ubat-ubatan kalian, maka itu terdapat pada sayatan alat bekam, minuman madu, atau sundutan dengan api yang tepat pada penyakit. Tetapi aku tidak suka berubat dengan ’kay’ ” (Shohih Bukhari)
Hadith Ketiga:
Dalam riwayat Tirmidzi dari Ibnu Mas’ud dan riwayat Baihaqi:
“Aku tidak berjalan di hadapan sekelompok malaikat pun pada malam ketika aku diisra’kan, kecuali mereka berkata, “Wahai Muhammad, perintahkanlah umatmu agar berbekam!’ ” (Shohihul Jami’: 5671)
Hadith Keempat:
Tirmidzi meriwayatkan dalam Sunan-nya, dari Ibnu Mas’ud yang berkata:
“Rasulullah SAW suatu ketika bercerita tentang malam ketika beliau diisra’kan, bahawa beliau tidak berlalu pada satu kelompok malaikat pun kecuali mereka menyuruh beliau dengan mengatakan, ’Perintahkanlah ummatmu agar berbekam’ ”
Ahmad juga meriwayatkan dalam musnadnya, sabda beliau, “Ini (bekam) adalah sebaik-baik cara pengubatan yang digunakan oleh manusia” (Al-Bashriyyin : 19237, Shohih)
Hadith Kelima:
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya cara pengubatan paling baik yang kalian pergunakan adalah hijamah (bekam)” (Shahih Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan kepada hadith-hadith di atas jelaslah kepada kita bahawa bekam merupakan perintah daripada Nabi Muhammad SAW.

Faedah berbekam :

1) Melancarkan darah dan menguatkan sistem saraf dalam badan.
2) Mengaktifkan peranan sel darah putih.
3) Memberi keselesaan dan kesegaran badan.
4) Membasmi kuman dan bakteria daripada merebak dan berjangkit semula.
5) Mengaktifkan saluran pernafasan,pergerakan,percakapan,pendengaran dan sel otak.
6) Menambah kekuatan otot.
7) Mengaimbangi daya tahan badan.
8 ) Membuang darah kotor dan bertoksik yang menyebabkan penyakit.
9) Mengeluarkan angin yang mengganggu sistem badan dan sebagainya.



P/S : Pastikan pembekam anda mematuhi peraturan kebersihan agar penyakit tidak berjangkit akibat penggunaan alat bekam yang tidak bersih serta berulang penggunaannya. Marilah kita mencuba!



Friday, July 26, 2013

Persoalan-Persoalan Yang Terjawab Oleh Al-Quran



KITA BERTANYA : KENAPA AKU DI UJI?

QURAN MENJAWAB : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," ("I am full of faith to Allah") sedangkan mereka tidak di uji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta."- Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
QURAN MENJAWAB :"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."- Surah Al-Baqarah ayat 216

KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
QURAN MENJAWAB : "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."- Surah Al-Baqarah ayat 286

KITA BERTANYA : KENAPA RASA SEDIH DAN KECEWA (FRUST)?
QURAN MENJAWAB :"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman." - Surah Ali-Imran ayat 139

KITA BERTANYA : APAKAH YANG HARUS AKU LAKUKAN?
QURAN MENJAWAB : "Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah (be fearfull of Allah The Almighty) kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."- Surah Ali-Imran ayat 200

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
QURAN MENJAWAB :"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk."- Surah Al-Baqarah ayat 45

KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
QURAN MENJAWAB : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka....."- Surah At-Taubah ayat 111

KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
QURAN MENJAWAB : "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripada-Nya.Hanya kepada-Nya aku bertawakkal."- Surah At-Taubah ayat 129

KITA BERTANYA : BAGAIMANA JIKA AKU TIDAK MAMPU BERTAHAN LAGI??!!
QURAN MENJAWAB : ".....dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."- Surah Yusuf ayat 12.



Nuzul Al-Quran : 16 Ramadhan 1434 H (26 July 2013)


P/S : Share it... Inilah pedoman terbaik untuk anda menghadapi UJIAN daripada Allah SWT dan berdakwah.