Followers

Thursday, April 18, 2013

Kisah Sedih Di Wangsa Maju (Perjalanan Akhir Nurin Jazlin)

Perjalanan Akhir Nurin Jazlin

Oleh NORMALA HAMZAH

HARI ini genap seminggu Nurin Jazlin Jazimin, 8, disemadikan di Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur. Selain tanah kuburnya yang masih merah, air mata ibu bapa, kakak dan adik serta keluarganya juga masih terus menitis.

Tidak terkecuali seluruh rakyat Malaysia yang berkongsi kesedihan di atas pemergiannya.

Setelah hilang selama 30 hari, Nurin Jazlin ditemui tidak bernyawa dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di Petaling Jaya, Selangor dengan kesan penderaan seksual yang melampau.

Penemuan itu menamatkan misteri kehilangan Nurin namun kisah anak malang itu pasti akan terpahat kemas dalam lipatan minda bukan setakat keluarganya tetapi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, usia dan batas agama.

Seluruh negara menangisi kematiannya yang tragis. Seluruh negara juga mengutuk kekejaman yang dilakukan ke atas Nurin Jazlin.

Naluri keibuan mendorong saya mencatat kisah Nurin Jazlin di ruangan ini sebagai penghormatan dan rasa kasih terhadap anak comel yang tidak berdosa itu.

Jika kita yang tiada kena mengena dengan Nurin Jazlin boleh menangis dan meratap, bagaimana mungkin ibu bapa, kakak dan adiknya menahan rasa?

Pastinya telah kering air mata mereka menangisi kehilangan Nurin Jazlin sejak 20 Ogos lalu.
Kesedihan yang ditanggung bapanya, Jazimin Abdul Jalil dan ibunya, Norazian Bistaman pastinya tidak terucap dengan kata-kata. Bayangkan jika kita di tempat mereka!

Bersama ratusan orang, saya turut meluangkan masa berhimpun di Madrasah Assa’dah, Seksyen 1, Wangsa Maju pada Jumaat lalu di mana jenazah Nurin Jazlin disembahyangkan.

Melihat begitu banyak kenderaan dan motosikal yang diletakkan di tepi jalan menghalang perjalanan ke madrasah tersebut, hati saya berkata, ramai yang sayangkan Nurin Jazlin!

Lagipun terlupa pula saya hari itu Jumaat di mana ramai kaum Adam mengerjakan solat Jumaat. Syukur dalam berlegar-legar, saya mendapat ruang untuk meletak kereta walaupun jaraknya agak jauh.

Lima belas minit menunggu jenazah Nurin diusung keluar. Seperti diduga orang ramai yang bersesak di kawasan madrasah mula berasak-asak untuk menghampiri van jenazah.

Beberapa wanita yang berlonggok di kiri kanan pagar madrasah kelihatan menangis dan berpelukan sesama sendiri. Sesetengahnya tidak dapat menahan sedih sehingga terpaksa ditenangkan yang lain.

Dari kejauhan juga saya perhatikan kebanyakan jemaah lelaki turut mengesat air mata. Emosi dan ego mereka turut terlerai kerana Nurin Jazlin. Begitu juga orang ramai yang menunggu di tepi jalan juga mula menangis.

Dan ketika van jenazah bergerak meninggalkan perkarangan madrasah menuju ke Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota, suasana semakin tidak terkawal, semua yang ada di situ saya lihat mengesat air mata. Suasananya sungguh mengharukan!

Sebaik kereta jenazah melintasi jalan di mana saya dan ramai lagi menunggu, sedu-sedan mula kedengaran dengan kebanyakan mereka tidak sampai hati melihat ke arah van jenazah. Sayunya hati, sebaknya dada, Tuhan saja yang tahu!

Di belakang van jenazah, deretan kereta dan motosikal mengekorinya perlahan-lahan untuk terus mengiringi jenazah Nurin Jazlin dalam perjalanan akhirnya ke tanah perkuburan.

Terkilan rasa hati kerana tidak dapat ikut sama ke tanah perkuburan, lantaran ada komitmen lain yang menunggu. Namun saya bersyukur kerana hajat untuk ke madrasah itu termakbul juga.

Nurin Jazlin Jazimin tidak ada kena mengena dengan kita semua. Tapi kekejaman yang berlaku ke atasnya dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, usia dan kaum.
Dalam marah, kita redha dengan ketentuan Tuhan.

Takdir yang tersusun dalam perjalanan hidup Nurin tidak siapa tahu atau menolaknya. Kerakusan manusia bertopengkan binatang meletakkan nyawa Nurin Jazlin seperti tidak berharga.

Begitu juga dengan nyawa-nyawa lain yang telah menjadi korban sebelum ini antaranya, Haserawati Saridin, 9, Nurul Huda Ghani, 10, Norshuhada Burak, 6, Nor Shawan Dahlan, 7, Siri Nadirah Budah, 5, dan Nor Syakilla Ramli Abdullah Choo, 5. Mereka diperlaku dengan kejam tanpa belas kasihan. Al-Fatihah!

Apakah kita harus membiarkan kejadian ini terus berlaku? Tentunya tidak. Justeru, tunaikan tanggungjawab kita sebagai anggota masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab.

Tidak salah mengembalikan sikap ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi biarlah secara positif. Mengambil tahu untuk kebaikan adalah langkah terbaik daripada membiarkan jenayah terjadi di depan mata tanpa kita berbuat apa-apa.

Jangan apabila telah berlaku ramai yang tampil memberi komen dan saranan. Setakat bercakap tetapi tidak bertindak juga membazirkan masa. Sedangkan penjenayah kejam bebas melakukan kekejaman tanpa mengira usia mangsa, masa dan tempat.

Apa pun iktibar yang kita peroleh daripada kes Nurin Jazlin adalah, pentingnya ibu bapa menjaga anak-anak dengan lebih serius.

Jangan ambil mudah keselamatan anak-anak. Lebih baik berjaga-jaga sebelum nasi menjadi bubur. Apabila telah terjadi, menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengembalikan keadaan.

Ketika Madrasah Assa’dah saya tinggalkan, masih ada yang menangis dan berpelukan. Seperti mereka, saya juga kalah dengan perasaan sendiri. Pastinya kawasan ini akan menjadi kenangan yang tidak akan saya lupakan seperti mana wajah comel Nurin Jazlin.

Kepada Jazimin dan Norazian, salam takziah dari saya. Semoga cekal menghadapi ujian Tuhan. Redakan pemergian Nurin, anak comel yang dipinjamkan Allah SWT kepada kalian untuk seketika.

Betapa sayang kalian kepadanya, yakinlah sesungguhnya Allah lebih menyayanginya. Ingatlah, Nurin Jazlin kembali kepada pemilik-Nya yang lebih berhak.

Jangan berlarutan menangisi pemergiannya. Panjatkan doa setiap kali solat agar roh Nurin Jazlin dicucuri rahmat dan dihimpun bersama ahli sunnah waljamaah. Bersemadilah dengan tenang wahai Nurin Jazlin. Amin! 
Copy and paste from nurinjazlin.blogspot.com (credit to)...





  
P/S : Sama-samalah kita ambil pengajaran daripada peristiwa hitam ini.Jangan biarkan jenayah berleluasa di Wangsa Maju dan negara kita yang tercinta ini.Ibu bapa terutamanya harus peka dengan keselamatan anak-anak.Amalkan sikap ambil tahu antara komuniti setempat dengan niat yang baik semata-mata.Insya Allah...


1 comment:

  1. sy penah ajar arwah adik nurin ni tuisyen..skli ngn kakak die..baik je arwah..al-fatihah

    ReplyDelete