Followers

Friday, July 12, 2013

Cara Menentukan Waktu Berbuka Bagi Orang Musafir


Walaupun orang yang bermusafir diberi keizinan untuk berbuka berpuasa, namun ada juga yang mahu meneruskan puasa seperti biasa. Walaubagaimanapun timbul satu persoalan bagaimanakah kita hendak mengetahui waktu berbuka jika kita sampai ke satu destinasi yang berlainan waktu berbuka. Jom ikuti soal jawab di bawah ini.


Soalan :

Ustaz,

Saya akan pulang ke Malaysia pada penghujung Ramadhan dan akan menaiki penerbangan selama kurang lebih 13 jam. Perjalanan saya akan bermula pada pukul 12.00 tengah hari waktu tempatan. Saya dijangka tiba di Malaysia hari berikutnya pada jam 7.25 pagi waktu Malaysia. Mengikut waktu tempatan, saya akan mulai berpuasa pada jam 5.17 pagi dan berbuka pada jam 6.51 petang.

Soalan saya, semasa dalam perjalanan ini, adakah saya perlu mengikut waktu tempatan tempat saya berlepas atau mengikut waktu Malaysia bagi tujuan berbuka puasa/sahur/solat?

Jawapan :

Menurut fatwa Syeikh ‘Athiyah Saqar Rahimahullah (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar). Seorang yang bermusafir sebagaimana juga orang lain yang tidak bermusafir- ia hendaklah berbuka apabila telah tiba malam (yakni telah jelas terbenam matahari). Ini kerana Allah berfirman (bermaksud) : “Kemudian sempurnakanlah puasa hingga (tiba) malam (yakni terbenam matahari)” (al-Baqarah : 187).

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim diceritakan Nabi SAW bermusafir di bulan Ramadhan bersama sahabatnya. Apabila matahari terbenam, baginda meminta seorang lelaki menyediakan makanan untuknya. Bila telah disediakan, baginda minum sambil berkata dengan tangannya menunjuk ke arah Timur dan Barat : “Apabila matahari telah terbenam dari arah sana (arah Barat) dan datang malam dari arah sana (yakni Timur), maka orang berpuasa bolehlah berbuka” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Umar ra).

Jadi, berdasarkan ayat al-Quran dan hadis tersebut, seorang yang berpuasa tidak harus berbuka kecuali apabila telah tiba malam dan malam tiba dengan terbenam matahari. Selama orang yang berada di atas kapal terbang tidak melihat malam (yakni ia masih melihat siang) tidak harus ia berbuka. Apa yang akan berlaku jika ia bermusafir ke Timur, maka siangnya semakin pendek dan tempoh puasanya juga akan jadi singkat. Dan jika ia menuju ke arah Barat, siang dan puasanya akan jadi panjang. Arah mana pun yang ia tujui (sama ada Timur atau Barat), yang dijadikan perkiraan untuk berbuka ia dengan tibanya malam (terbenam matahari), bukan merujuk kepada waktu di tempat ia bertolak atau waktu di tempat tujuannya atau waktu semasa di negara/kawasan yang dilalui oleh kapal terbangnya.

Jika berpuasa menyukarkan bagi orang yang menuju ke Barat, kerana masa berpuasa yang menjadi lebih panjang, harus ia meninggalkan puasa atas sifatnya sebagai seorang musafir dan kemudian mengqadhanya selepas Ramadhan.


No comments:

Post a Comment