Followers

Wednesday, July 10, 2013

Utamakan Yang Utama Di Bulan Ramadhan


Alhamdulillah... surau-surau dan masjid-masjid dikunjungi ramai ahli jemaah pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Apatah lagi pada sebelah malamnya. Bilangan ahli jemaah pada solat sunnat Tarawih sangat ramai sehingga ada yang terpaksa solat di luar ruang utama pada malam pertama bulan Ramadhan.

Inilah keberkatan Ramadhan. Ramai manusia berduyun-duyun ke masjid dan surau untuk bersolat jemaah dan masing-masing berlumba untuk membuat kebajikan demi merebut pahala yang berlipat ganda pada bulan yang penuh barakah ini.

Namun, ada sebahagian ahli masyarakat yang salah faham akan keutamaan sesuatu amal atau perbuatan ke atas amalan yang lain yang sepatutnya diutamakan terlebih dahulu. Antara salah faham itu ialah :

1. Mengutamakan solat sunnat Tarawih secara berjemaah, tetapi meninggalkan solat fardhu Maghrib dan Isyak secara berjemaah.

2.  Mengutamakan cepatnya untuk khatam Al-Quran, tetapi meninggalkan usaha untuk  tadabbur Al-Quran (pemahaman akan maksudnya secara menyeluruh).

3. Mengutamakan dan berpegang kuat pada pendapat fiqh tertentu termasuk ideologi politik, tetapi melupakan adab ikhtilaf dan akhlak sesama muslim sehingga terguris ukhwah Islamiyah. Sedangkan berlapang dada dalam soal ini adalah lebih baik daripada memutuskan hubungan dan perpaduan masyarakat Islam.

4. Melambatkan solat fardhu Maghrib disebabkan berbuka puasa. Sedangkan seseorang sepatutnya menyegerakan solat fardhu Maghrib selepas berbuka secara ringkas. Jika mahu sambung makan selepas solat fardhu Maghrib, silakan...

5. Mengutamakan sunnah berpakaian yang tidak disyariatkan ketika ke masjid seperti berjubah atau berserban (bagi lelaki) dan bertelekung putih (bagi wanita), tetapi meninggalkan adab berpakaian yang disyariatkan seperti menutup aurat, tidak sombong dan membangga diri, membazir, keterlaluan dan bertasyabbuh (meniru) kaum lain ketika berpakaian seharian.

6. Wanita mengutamakan untuk turut serta solat berjemaah di masjid, tetapi melupakan adab dan akhlak ketika keluar rumah. Wanita boleh bersolat di masjid, tetapi jika boleh menimbulkan fitnah lebih elok dia solat di rumah sahaja.

7. Mengutamakan solat sunnat pada waktu sepertiga malam, tetapi meninggalkan solat Subuh secara berjemaah. Ini biasa terjadi akibat mengantuk.

8. Mengutamakan ibadat sunnat di surau atau masjid ketika waktu kerja, tetapi meninggalkan tanggungjawab dan amanah majikan di tempat kerja.

Mudah-mudahan kita akan semakin bijak dalam melakukan amal ibadah dan bermuamalah dengan bertambahnya ilmu setiap hari. Hadirilah majlis ilmu sama ada di masjid, di surau, di tempat kerja, seminar-seminar, melalui tv dan radio atau pun melalui maklumat-maklumat di pelbagai media.

Semoga Allah memelihara kita semua dan menjadikan kita semua sebagai hamba-hambanya yang bertaqwa...

Amin Ya Rabbal Alamin!



1 Ramadhan 1434 H (2013)



No comments:

Post a Comment