Followers

Sunday, June 23, 2013

Catatan Alam 2013 : Jerebu Oh! Jerebu...


Apa itu Jerebu?

Jerebu berkaitan dengan atmosfera yang terdiri daripada zarah, debu dan asap menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Jerebu terhasil daripada aktiviti perindustrian, pelepasan jana kuasa, kenderaan dan pertanian. Asap  daripada kenderaan, kilang dan asap kebakaran adalah penyumbang utama kepada jerebu.



Kesan-kesan jerebu terdiri daripada empat aspek utama iaitu kesan kepada kesihatan, ekonomi, alam sekitar dan sosial.
KESAN JEREBU TERHADAP KESIHATAN MANUSIA.
o    Komponen – komponen yang terdapat pada jerebu seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon, habuk dan logam boleh membawa kesan yang buruk kepada kesihatan manusia.
o    Antara golongan yang berisiko tinggi menerima kesan buruk ketika jerebu ialah :
  • kanak-kanak
  • orang tua
  • perokok
  • mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah
  • mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan
Simptom-simptom gejala jerebu


KESAN JEREBU TERHADAP EKONOMI.
  • Pelancongan
Apabila semakin banyak partikal dan asap yang berkumpul di atmosfera, warna atmosfera akan menjadi keperangan, menyebabkan  tahap penglihatan buruk yang secara tidak langsung akan menggangu jadual penerbangan kapal terbang dan kapal laut di Malaysia. dianggarkan  sektor perlancongan di Asia tenggara mengalami kemerosotan sebanyak  9.3 bilion dollar Amerika yang disebabkan oleh pembatalan dan kelewatan pengangkutan udara.
  • Perusahaan dan perniagaan
Jerebu yang berlaku pada tahun 2005 menyebabkan kerajaan Malaysia mengisytiharkan darurat di Port Klang dan Kuala Selangor. Malahan, hampir semua institusi pengajian, pejabat kerajaan dan swasta termasuk kawasan pembinaan dan kuari-kuari terpaksa ditutup. Selain itu juga, restoran serta perusahaan kecil dan sederhana juga terpaksa ditutup untuk sementara waktu.
  • Pertanian
Jerebu telah menyebabkan pengurangan dalam pengeluaran tanaman bagi sumber makanan. jerebu telah menghalang cahaya matahari yang penting bagi tujuan fotosintesis bagi tumbuhan. Dan menyebabkan tumbuhan menjadi layu. Selain itu juga, asap dan habuk-habuk jerebu  juga mendap di atas daun-daun tumbuhan dan menutup pintu-pintu stomata yang penting bagi tujuan transpirasi tumbuhan.
KESAN JEREBU TERHADAP PERSEKITARAN
Dalam aspek alam sekitar, jerebu disebabkan oleh pencemaran yang berlaku dari cahaya matahari . Jerebu memberi impak kepada pemandangan pada persekitaran yang mempengaruhi aspek kejelasan, warna, rupa, tekstur dari kaca mata tumbuhan haiwan dan manusia terutamanya.
Malaysia dan Indonesia menghadapi jerebu disebabkan oleh pembakaran terbuka. Jerebu menyebabkan masalah persekitaran seperti pencemaran air. Jerebu terdiri daripada kandungan asap, zarah, debu dan agen biologi yang akan menyebabkan pencemaran pada komponen air seperti empangan apabila hujan turun. Toksik di dalam air ini juga memberi kesan kepada hidupan akuatik seperti ikan.
Sementara bagi negeri Iceland dan Mexico menghadapi jerebu disebabkan oleh letusan gunung berapi. Letusan gunung berapi merembeskan abu dan gas ke atmosphera dan memjejaskan cuaca.  Sulfur dioksida yang berlebihan bercampur dengan wap air menghasilkan sulfurik asid akan memantulkan cahaya matahari dari bumi dan memberi kesan kepada pembesaran tumbuhan.
KESAN JEREBU TERHADAP SOSIAL
1.      Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah dan digalakkan untuk memakai topeng muka jika mereka keluar dari rumah untuk mengelak daripada penyakit.
2.     Hampir semua pejabat ditutup yang membawa kepada kejatuhan harga pasaran saham secara drastik.
3.     Proses pembelajaran terganggu apabila pusat pengajian terpaksa ditutup kerana asap jerebu  boleh membahayakan kesihatan para pelajar.
4.     Jerebu teruk yang berlaku di Malaysia telah menyebabkan hubungan diplomatik antara Indonesia dan Malaysia menjadi sedikit renggang yang berpunca daripada pembakaran terbuka di Indonesia.
5.     Komunikasi di antara manusia menjadi agak terbatas.
6.     Jarak penglihatan yang berkurangan menjadikan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat menjadi sukar.

KESIMPULAN
  • Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
  • mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
  • Kurangkan aktiviti luar terutama aktiviti sukan di luar rumah
  • Orang ramai dinasihatkan memakai penutup hidung ketika berada di luar bangunan dan membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
  • Sekiranya kenderaan anda berhawa dingin, sila gunakannya.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak.
Sumber rujukan : Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


No comments:

Post a Comment