Followers

Tuesday, June 4, 2013

Perginya S.Shamsuddin Menjejaki Tan Sri P.Ramlee

Pelakon komedi terkenal era 50-an, seniman S.Shamsuddin meninggal dunia pada hari ini di kediamannya Jurong, Singapura pada jam 10.56 pagi.

Arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun disebabkan sakit tua.

Salah seorang anaknya, Noredah, mengatakan ayahnya telah tidak sedarkan diri pada sebelah pagi dan menghantar ayahnya terus ke hospital. Walau bagaimana pun, arwah di sahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Shamsuddin atau nama sebenarnya Sahamsuddin Bin Dali berkahwin dengan Puteh Esmoon pada tahun 1954 dan dikurniakan 7 orang anak.

Seorang anaknya yang bernama Ariff merupakan pelakon pelawak TV Singapura.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1 Januari 1929 di Pasir Panjang, Singapura merupakan pelakon komedi seangkatan dengan seniman agung Allayarham Tan Sri P.Ramlee dan Dato' Aziz Satar. Gandingan mereka bertiga memang cukup popular dalam filem 'Bujang Lapok'.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham membintangi kira-kira 30 filem termasuk 'Nujum Pak Belalang', 'Nasib Si Labu Labi', 'Tiga Abdul' dan 'Setinggan'.

Allahyarham pernah menerima bayaran sebanyak 3 ringgit sebagai pelakon tambahan ketika di awal kemunculan beliau dalam perfileman melayu. Beliau kemudiannya diambil bekerja oleh MFP sebagai tukang kayu untuk membina set dan latar belakang penggambaran dengan gaji sebanyak 50 ringgit sebulan.

Kerjaya Allahyarham mula menyinar apabila di pilih sebagai pelakon utama  dalam filem 'Tas Tangan Wanita' arahan Dato' L.Krishnan pada tahun 1952.

Namanya di kemuncak apabila P.Ramlee mengarah filem komedi pertama pada tahun 1957 iaitu filem 'Bujang Lapok' yang menggabungkan trio komedi terhebat dalam sejarah perfileman melayu.

Berikutan kejayaan besar itu, P.Ramlee melanjutkan watak 'Bujang Lapok' melalui 3 buah filem lagi iaitu 'Pendekar Bujang Lapok', 'Seniman Bujang Lapok' dan 'Ali Baba Bujang Lapok'.

Filem berunsur drama berat ini di sulami dengan kelucuan yang di hidupkan oleh lakonan S.Shamsuddin bersama sahabat-sahabatnya.

Semoga roh beliau ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin...

AL-FATIHAH

Pak Sudin 1929 ~ 2013

No comments:

Post a Comment