Kemudian Allah S.W.T menyeru: "Hiduplah hai Israfil dan Hamalatul Arasy." Maka hiduplah kedua mereka. Kemudian Allah S.W.T memanggil kesemua roh dan diletakkan dalam sangkakala. Lalu Allah S.W.T menyuruh Israfil meniup sangkakala.
Apabila Israfil meniup saja sangkakala itu, maka berterbanganlah roh-roh keluar bagaikan lebah memenuhi angkasa antara langit dan bumi, lalu roh masuk ke jasad melalui hidung. Maka bumi mengeluarkan mereka. Orang pertama yang akan keluar dari bumi ialah Rasullullah S.A.W.
Dalam hadis diterangkan bahawa, sesungguhnya apabila Allah S.W.T menghidupkan Jibril dan Mikail, maka pergilah kedua-duanya ke kubur Rasullullah S.A.W sambil membawa Buraq (haiwan yang ditunggangi Rasullullah S.A.W ketika Isra' dan Mikraj) dan perhiasan-perhiasan dari syurga.
Apabila sampai sahaja mereka di kubur Rasullullah S.A.W, terbukalah kubur baginda. Apabila Rasullullah S.A.W melihat Jibril, baginda pun bertanya: "Hari apakah ini?" jawab Jibril, "Inilah hari kiamat iaitu hari yang sangat menggentarkan!" Kemudian Rasullullah bertanya lagi: "Wahai Jibril, bagaimanakah halnya umatku?" Berkata Jibril: "Terimalah khabar gembira kerana kamu adalah orang pertama keluar dari perut bumi".
Buraq tiba-tiba meronta-ronta, lalu Jibril berkata kepadanya, “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak malu dengan makhluk yang paling baik diciptakan oleh Allah? Sudahkah Allah perintahkan kepadamu agar mentaatinya?” Buraq menjawab, “Aku tahu semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga Allah sebelum dia menunggangku. Sesungguhnya, Allah akan datang pada hari ini dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini!” Rasulullah bersabda kepada Buraq, “Ya! Sekiranya kamu berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.”
Setelah berpuas hati, Buraq membenarkan Rasulullah menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan Buraq sejauh pandangan mata. Apabila Rasulullah berada di Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil menyeru, “Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus, bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Allah Yang Maha Perkasa!"
Dalam hadis diterangkan bahawa semua manusia keluar dari perut bumi, keadaan mereka adalah telanjang tanpa berpakaian dan mereka berjalan menuju kepada tuhan mereka. Kemudian mereka berhenti di satu tempat selama 70 tahun. Allah S.W.T membiarkan mereka dan tidak melihat keadaan mereka. Maka menangislah mereka sehingga habis air mata dan keluarlah darah disertai dengan peluh yang melimpah hingga menjadi banjir sampai ke mulut.
Bersambung Jumaat hadapan...
No comments:
Post a Comment