DALAM sebuah hadis diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai ke neraka, maka di situ disediakan untuk iblis sebuah mimbar daripada api, dipakaikan pakaian daripada api, bermahkota daripada api dan diikat iblis dengan tali daripada api.
Iblis pun naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai penghuni neraka! Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik! Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kamu dengan janji yang benar dan bahawa kamu semua mati, akan dihalau dan dihisab untuk menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan lagi ke neraka Sa'ir..."
Semua penghuni neraka mendengar segala ucapan iblis yang menjadi ketua mereka. Iblis menyambung: "Kamu semua menyangka bahawa kamu tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia selama-lamanya."
"Tidak! Tidaklah ada bagiku kekuasaan ke atasmu melainkan aku hanya mengganggu dan memperdaya kamu semua dengan tipu muslihat. Akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu."
"Oleh itu, janganlah kamu mengumpat dan mencaci aku, sebaliknya umpatlah diri kamu sendiri kerana sesungguhnya kamu sendirilah lebih berhak mengumpat daripada aku mengumpat."
Iblis terus berucap sambil menyoal kebodohan penghuni neraka. Sambil menempelak, iblis mengakui Allah yang paling berkuasa menciptakan segala sesuatu.
"Mengapa kamu tidak mahu menyembah Allah sedangkan Dialah Allah yang menciptakan segala sesuatu?" soal iblis.
Iblis mengakhiri syarahannya dengan berkata: "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua daripada seksaan Allah dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari ini aku telah terlepas daripada apa yang telah aku katakan kepada kamu dahulu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari hadrat Tuhan, seru sekelian alam."
Selesai sahaja khutbah iblis itu, semua penghuni neraka melaknat dan memakinya.
Setelah itu iblis dilontar oleh malaikat Zabaniyah dengan tombak daripada api. iblis tersungkur daripada mimbar dan jatuh ke neraka yang paling bawah sekali. Kekal iblis di situ selamanya bersama-sama dengan pengikut setianya.
Berkata malaikat Zabaniyah kepada mereka, "Pada hari ini tiada kematian dan tiada pula kesenangan buat kamu semua. bahkan kamu akan kekal di dalamnya selama-lamanya!"
Wallahua'lam... -TAMMAT-
No comments:
Post a Comment